31 Mac, 2009

Rayyan

Lama betul aku rasa tak menulis kat blog aku nih...assalamualikum. Maklumlah mama masih kat kampung,berpantang. Muhammad Rayyan Irsyad,itulah nama anak ketiga aku. Muka sama macam abang Adam. alhamdulillah Rayyan sihat. Begitu juga dengan mama. Rayyan kalau menangis memang dengan sesungguh hatinya. Abang Adam dan Kak Wani sayang sangat kat adiknya tu. Kejap-kejap nak sayang. Cuma sesekali adik Wani tu ngada-ngada sikit. Baru dapat adiklah katakan.
Adam bersekolah kat Tampin,tadika kat sana. Dekat ngan rumah uwan dia,jalan kaki je. Adam begitu seronok apabila pergi sekolah. Macam sekarang dia sudah boleh menyanyi lagu 'abc' tu. Lagi satu dia suka bertanya tentang huruf yang dia tengok. Tak kiralah dia tengok kat televisyen atau papan tanda. Jenuh jugalah aku nak menjawabnya. Adam bersekolah bersama dengan sepupunya yang sebaya. Yang 'bestnya' masa hari pertama aku hantar dia pergi sekolah,macam-macam perangai aku dapat tengok tentang Adam. Apabila melihat Adam,aku rasakan begitu cepat dia membesar...Adam ni apabila aku ada kat situ,dia macam main-main. Tapi apabila aku balik cikgu dia kata Adam ok je. Sebenarnya dia dah lama nak pergi sekolah,nak berkawan.
Adik Wani pula semakin petah bercakap. Ayat dia apabila kena usik dengan makcik-makcik atau sepupu dia ialah "mummy jahat". Asal ada yang dia tak puas hati mesti dia akan cakap macam tu...Lagi satu ,adik Wani ni suka sangat usik abang Adam. Mainan ke,alat tulis ke,mesti dia nak juga ambil. Nasib baiklah abangnya boleh mengalah.Adik Wani juga sudah pandai merajuk. Keena marah sikit merajuk...memang kelakarlah.
Cuma sekarang aku penat lah sikit kena ulang alik dari Tampin. Sekolah dah mula. Beban kerja semakin banyak. Markah murid-murid nak kena bagi. Cikgu Hasiah dah bising tu....hehehe....
Lepas tu nak kena isi buku ADAB pula. Rutin biasa kerja aku. Cuma sekarang aku rasakan semangat kerja aku semakin menurun...mungkin faktor aku sudah terlalu lama di sini atau ada faktor lain? Entahlah...cuma apa yang pasti aku bahagia dengan 'life' aku sekarang. Cuma 'target aku dalam karier sahaja yang belum tercapai. Kadang-kadang aku merindui saat-saat kawan-kawan lama aku kat sekolah. Lupa pula nak ucapkan terima kasih pada Samad dan Ct yang singgah kat Tampin hari tu. Dia orang pergi Ke Muar jadi singgahlah ke Tampin sambil menjenguk 'baby' Rayyan. Lama juga aku sembang. 'Thanks'.
Lain kali aku akan coretkan lagi perjalanan hidup aku. Nanti aku masukkan gambar Rayyan...assalamualaikum....

04 Mac, 2009

Bola Sepak Kelantan

Assalamualaikum semua....minggu ni topik bola sepak. Kenapa? Sebabnya hampir semua perlawanan pasukan Kelantan ketika bermain di Lembah Klang aku pergi menyaksikannya. Semangat sikit. Minggu lepas aku pergi ke Stadium Perbandaran Selayang. Malam tu perlawanan antara Kelantan menentang PDRM. Menang,tapi ada juga insiden pergaduhan. Perlawanan tumpuan minggu lepas pula dah tentulah ketika bermain menentang Selangor. Perlawanan ni kelantan tewas dengan jaringan 3-0. Halim Napi dapat kad merah. Malam tu pun 'panas' juga. Macam yang akhbar laporkan tercetus pergaduhan antara penyokong sementara pemain Kelantan pula memberikan aksi yang longlai di atas padang. Kekalahan itu rupanya membuatkan semangat pemain menurun. Ini dapat dilihat ketika perlawanan malam semalam di antara Kelantan lawan UPB Myteam. Keputusannya seri 1-1. Banyak ruang kelemahan terutamanya bahagian pertahanan. Cuma satu je ,mereka tetap menunjukkan aksi yang boleh dikatakan membanggakan. Nasib je kurang menyebelahi Kelantan.
Yang pasti penyokong Kelantan memenuhi Stadium MBPJ. Aku juga sempat bertemu dengan Peter Butler dan Tan Sri Annuar Musa. Kawan-kawan juga ramai yang datang. Man,Kadir,Khalid,Zuhar,Hamar. Manakala yang tak dapat datang sentiasa bertanya keputusan terkini melalui SMS. Okaylah...
Aku juga tengah menghitung hari untuk menimang cahaya mata ketiga. Tunggu masa je mama,kan? Adam ngan adik Wani dah ada kat Tampin. Saje jah hantar awal. Rindu sangat kat Abang Adam ngan Adik Wani....

26 Februari, 2009

kawan-kawan

Assalamualaikum semua...tiada apa yang nak dikongsikan. Hanya rasa nak menulis sahaja. Maaflah sebab sekarang ni tengah sibuk sikit. Lagi pun aku penat sangat. Tak pernah aku rasa penat macam ni. Ni pun soalan ujian fasa 1 budak-budak tak siap lagi. Nantilah kalau ada kesempatan aku akan coretkan kisah-kisah yang menarik. Sebelum terlupa aku nak ucapkan tahniah kepada Cikgu Samadalkhir dan Teacher Siti Suhaida yang dapat menyambung pelajaran kat USM. Kilaih dia orang kat Ipoh gak, Luar Kampus. Tahniah,teruskan Mad dan CT...
JUMPA LAGI SEMUA.

21 Februari, 2009

Menjadi Seorang Guru

Assalamualaikum semua...hampir sepuluh tahun aku menjadi seorang guru. Kejap je aku rasakan. Sepanjang tempoh itu,sudah banyak asam garam dan pahit manis yang aku lalui. Mesti ada yang tertanya-tanyakan kenapa aku memilih topik ini. Bukan apa,cuma kebelakangan ini aku rasakan terlalu penat dengan beban tugas harian. Mungkin juga seiring dengan peningkatan usia aku. Tiga tahun pertama dalam profesion keguruan aku banyak mengumpul pengalaman untuk memahami budaya persekolahan dan guru. Dalam tempoh itu juga aku banyak menimba pengalaman hidup. Sejujurnya aku terpaksa menyesuaikan diri dengan banyak perkara. Awal kehidupan aku di sekolah ini sebenarnya satu pengalaman yang menarik. Banyak benda yang aku pelajari. Tambahan pula aku ditempatkan bersama-sama hampir 19 orang guru baru. Macam-macam karenah yang aku dapat saksikan. Masa tu aku tinggal menyewa di flat,Taman Mulia Jaya. Rakan serumah aku pula ialah cikgu Azelan dan Mat Yi. Hampir lima tahun aku tinggal di situ.
Tugas pertama aku di SKTP ialah menjadi guru kelas untuk Tahun 1 Erat. Aku yang tiada pengalaman terpaksa menghadapi telatah kanak-kanak yang baru bersekolah. Alhamdulillah,aku tidak menghadapi masalah yang serius. Barisan pentadbir banyak membantu aku pada masa itu. Cikgu Azman,Cikgu Sarajuddin dan guru besar Pn.Hjh.Maizun banyak membimbing aku. Banyak ilmu yang aku dapat pelajari. Tidak keterlaluan kalau aku katakan bahawa apa yang aku praktikkan sekarang adalah hasil bimbingan mereka. Kawan-kawan pada masa itu pula ialah seperti geng Kg.Pandan. Hahaha...Pada masa itu Jai tinggal dengan Samad kat Kg.Pandan. Rumah ala-ala Kassim Selamat gitu. Pali pula menumpang kakaknya di Pandan Indah. Lepas tu pula dia orang berpindah kat Taman Saga pula,sebelah rumah Abg Man. Zack pula masih tinggal dengan mak ayah dia.
Kalau di sekolah,semua rajin bekerja. Suasana di sekolah cukup selesa. Selesa dengan kawan-kawan. Aku pula kiranya yang paling bawah la rankingnya. Itu dari segi bekerja la. Kawan-kawan aku tu semua boleh dikira hebat. Masing-masing sudah membuktikan kehebatan mereka.
Aku pula masih memegang jawatan guru kelas sampai sekarang. Hampir enam tujuh tahun juga aku memegang kelas tahap satu. Tiga tahun kebelakangan ini aku menjadi guru kelas tahap dua,darjah empat. Cuma yang pasti aku masih mengajar Bahasa Melayu@Bahasa Malaysia dari dulu sampai sekarang. Aku juga cukup tegas dengan murid-murid. Aku cuma ingin menerapkan disiplin dalam diri mereka. Walaupun aku boleh dikatakan garang tetapi ramai bekas anak murid aku yang dah tamat belajar apabila berjumpa masih menghormati aku. Mereka masih ingat sewaktu kena marah,kena denda dengan aku dulu. Mereka tahu sebab apa mereka kena marah dulu.
Tapi tak semua yang menghargai kita. Ada juga sesetengah ibu bapa yang kelakuan mereka boleh menghiris hati aku. Cuma aku tidak boleh ambil peduli sangat benda-benda macam tu. Ada ibu bapa yang pernah mempersoal kewajaran aku terhadap tindakan aku kepada anak-anak mereka. Apa yang boleh aku katakan kepada mereka adalah ungkapan 'maaf'. Memang kalau diikutkan hati,boleh mengganggu perasaan tetapi itulah tugas seorang guru. Aku juga pernah menerima ucapan 'tahniah'. Ada seorang ibu mengucapkan 'TAHNIAH' kepada aku di atas kegagalan anaknya. Apa yang aku ralatkan ialah ibu ni seorang ibu tunggal dan dia mengakui terpaksa bekerja,jadi masa untuk melihat perkembangan pelajaran anaknya adalah terhad. Jadi anaknya hanya belajar di sekolah tanpa ada pemantauan yang berterusan di rumah. Lagi pun kalau aku yang 'menggagalkan' anaknya,mengapa aku tidak menerima ucapan 'tahniah' kerana kejayaan anak murid ku yang lain di dalam kelas yang sama. Bukan semua anak murid aku di dalam kelas itu yang gagal. Pelikkan? Apabila anak itu berjaya,peranan guru dilupakan. Tetapi kalau anak itu gagal,kewibawaan guru pula dipertikaikan. Itu antara peristiwa yang aku dapat kumpulkan sebagai seorang guru. Banyak lagi pahit manis menjadi seorang guru. Sepuluh tahun bukanlah satu masa yang pendek. Dalam masa sepuluh tahun.....banyak perkara boleh berlaku. Pelbagai peristiwa yang telah aku lalui. Pahit,manis,suka,duka,senang,susah.....itulah yang perlu kita lalui.
Itu hanya secebis kisah dalam tempoh masa aku berada di SK Tasek Permai. Apa yang pasti,bagaikan lirik lagu sekolah aku..... DI SINI AKU BERMULA. Bermula untuk sebuah kehidupan. Kehidupan seorang guru. Guru yang diamanahkan untuk mendidik anak muridnya walau apa pun alasannya. Tugas kami hanyalah mendidik dan terus mendidik sehingga anak murid silih berganti. Begitu jugalah dengan aku...
Kalau nak diikutkan banyak lagi yang boleh dikongsikan tetapi memadailah untuk ketika ini. Apa yang pasti akan tercipta lagi setiap peristiwa demi peristiwa yang akan berlaku dalam kehidupan kita ini. Cuma yang penting bagaimana kita melaluinya dan apakah peristiwa yang akan kita kenang itu....