13 Mei, 2009

13 Mei

Tarikh ini merupakan satu tarikh penting dalam lipatan sejarah negara. Pada tarikh inilah yang mencetuskan satu senario baru dalam aspek hubungan antara kaum di negara kita. 13 Mei dijadikan sebagai garis panduan dalam setiap apa sahaja yang melibatkan persoalan mengenai hubungan di antara kita semua.
Kerajaan sentiasa memberikan komitmen yang padu untuk memastikan keharmonian dalam masyarakat berbilang bangsa dalam negara kita ini. Keharmonian yang dipupuk hampir lima puluh tahun ini berjaya menjadikan negara kita bertambah aman dan makmur. Negara kita berkembang pesat dalam menuju arus pemodenan. Banyak kemajuan yang telah dicapai.
Rakyat negara kita juga telah membuktikan yang kita adalah satu bangsa yang berdaya saing di peringkat global. Kita mampu menjenamakan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang bergerak ke arah kemajuan yang pesat. Rakyat negara kita juga sudah mula menitik beratkan aspek pendidikan dalam kehidupan mereka. Kita semua bertungkus lumus memastikan setiap anak-anak kita mendapat ilmu yang sepatutnya. Dasar kerajaan yang mewajibkan setiap kanak-kanak mendapat pendidikan sekurang-kurangnya sehingga ke tahap sekolah rendah juga membuktikan yang kita semua menyedari perlunya ilmu untuk menjadi satu bangsa yang bertamadun dan dihormati.
Keharmonian yang dinikmati oleh kita selama ini adalah satu anugerah yang tidak terhingga. Kita sering ditunjukkan oleh media massa tentang penderitaan yang tidak berkesudahan di beberapa tempat di negara lain. Betapa mereka yang tidak bernasib baik dan menerima ujian yang pastinya tidak ingin kita lalui itu terpaksa melaluinya. Kita dapat saksikan betapa menderitanya rakyat Palestin, pergolakan di beberapa buah negara Afrika yang juga di hantui masalah kebuluran. Semua itu,alhamdulillah tidak dilalui oleh kita.
Kestabilan politik dalam negara kita juga banyak menyumbang ke arah keharmonian ini. Cuma sedikit sebanyak kekalutan yang timbul kebelakangan ini hanyalah masalah yang pastinya dapat ditangani dengan penuh rasional oleh mereka-mereka yang terlibat. Mereka semua itu adalah golongan yang berpelajaran dan sudah semestinya tahu apa yang baik untuk kita. Di situlah terletaknya ketinggian ilmu seseorang yang dapat dinilai melalui tindakan-tindakan mereka. Kita hanya mahu melihat yang terbaik. Sudah semestinya mereka juga inginkan yang terbaik untuk rakyat.
Cuma apa yang boleh kita lakukan ialah jalankan tanggunjawab kita sebagai rakyat dengan sebaik mungkin. Kita sudah semestinya tidak ingin sejarah lama berlaku lagi. Cukuplah sekali dan berfikirlah menggunakan ilmu yang kita ada dan bertindaklah menggunakan kewarasan akal yang menunjukkan kita adalah individu yang berilmu. Janganlah kita dianggap bodoh sombong akibat kedangkalan kita sendiri.

Tiada ulasan: