17 Disember, 2009

Selamat Tahun Baru 1431H

doa awal tahun
doa akhir tahun


Alhamdulillah...tahun baru dalam perkiraan Hijrah untuk umat Islam akan menjelang tiba esok. Selalunya akan dikaitkan dengan penghijrahan kepada kita. Ya,aku juga akan berhijrah. Aku akan berhijrah dari segi semua aspek,insyaallah. Kedatangan tahun baru ini merupakan 'turning point' dalam hidup aku. Banyak perubahan yang akan berlaku dalam hidup aku dalam menempuhi tahun yang akan datang.
Aku juga bersyukur kerana masih berpeluang untuk menjadi lebih baik dan seolah-olah diberikan peluang kedua dalam hidup aku. Kenapa ya? Mungkin aku perlukan satu alasan yang betul-betul kukuh untuk aku berhijrah.
Penghijrahan aku ini melibatkan semua aspek dalam hidup aku. Alhamdulillah mama memahaminya dan dapat menerimanya. Terima kasih mama...Mungkin penghijrahan aku ini agak drastik bagi sesetengah pihak tetapi bagi yang mengenali aku dengan lebih rapat....itulah aku sebenarnya.
Aku cuma mengharapkan penghijrahan ini akan membawa kebaikan dan dapat mencapai cita-cita dan impian aku,insyaallah. Setiap kesalahan yang pernah dilakukan harap dapat dimaafkan...insyaallah...dan alhamdulillah...terima kasih semua...

15 Disember, 2009

Bingung ke bangang?

Maaf tentang tajuk tersebut,bukannya apa sebab ada orang yang merasakan dirinya hebat sehinggakan boleh melakukan apa sahaja kepada orang lain. Pernah tak kalian menghadapi situasi di mana seseorang boleh mempersoalkan tentang kerjaya kita. Dengan penuh keangkuhan menyatakan dia boleh menyebabkan karier aku boleh di porak peranda dalam sekelip mata. Haha...hebat bunyinya kan? Itulah kenyataannya apabila kita merasakan diri itu hebat walhal sebenarnya 'hampeh'. Hehe,guna bahasa pasar jap. Keselamatan hidup aku sekeluarga pun menjadi mainan,pelikkan? Hidup seolah-olah undang-undang di tangan mereka itu. Habis aku ni apa? Barang yang boleh disuruh sesuka hati...jangan ingat diam itu aku bersetuju tetapi sebab aku malu untuk melayan orang yang tidak berilmu,nanti aku dikatakan bodoh pula. Hahahaha...insyaallah,ALLAH ADA,DIA LEBIH MENGETAHUI...

14 Disember, 2009

Suatu Hari Nanti

Alhamdulillah...aku rasakan beban yang aku pikul selama sepuluh tahun terjawab dalam minggu ini. Mesti semua tertanya-tanya apakah beban itu...biarlah ianya menjadi misteri untuk semua. Aku rasa sangat tenang selepas dapat melepaskan beban itu walaupun ada sedikit kesulitan yang terpaksa aku lalui. Mungkin terlalu mahal 'bayaran' yang aku perlukan untuk melepaskan beban itu.
Itu semua usah dipedulikan,yang penting aku dah dapat jawapan kepada segala persoalan yang bermain di minda aku. Terima kasih mama di atas kesabaran yang tidak mampu orang lain lakukan. Ayah sangat sayangkan mama. Kepada 'someone' yang tak dapat aku dedahkan namanya juga terima kasih atas segalanya...insyaallah semua akan menjadi baik...percayalah.
Apa yang berlaku sebenarnya mematangkan aku. Tempoh sepuluh tahun bukanlah masa yang singkat untuk aku menunggu jawapan itu. sepanjang tempoh itu aku melalui berbagai peristiwa pahit manis dalam menharungi kehidupan ini. Cuma dalam tempoh sepuluh tahun ini aku rasakan hanya dua kali aku terlalai dalam menuju matlamat hidup aku. Nasib baik aku cepat tersedar dari lamunan.
Kelalaian aku untuk menuju suatu hari aku tu cukup untuk membuat aku semakin tabah untuk mempercayainya....ya...suatu hari nanti,bukan semua orang dapat memahaminya...kepada yang faham,insyaallah...
Cuti sekolah pun dah hampir pertengahan,tinggal lagi dua minggu untuk mesyuarat pertama guru pada 28 Disember nanti. Sekejap je masa berlalu dan aku masih menghitung hala tuju aku di SK Tasek Permai. Bukan apa,aku cuma terfikir sudah terlalu lama aku berada di situ...terlalu banyak kenangan pahit manis aku sepanjang menabur bakti di sekolah itu. Terlalu banyak kenangan yang akan menjadi kenangan terindah aku di sana. Di sana juga aku belajar untuk terus mengerti erti ketabahan dan kesabaran dalam hidup ini. Setiap pengalaman di sana aku kutip satu persatu tanpa mempersoalkan sedikit pun. Aku tahu setiap pengalaman itu berharga. Aku tidak pernah merasakan aku terlalu lemah cuma kadang kala terasa macam terlalu penat. Pengalaman yang cukup berharga sebagai seorang guru dan juga sebagai seorang insan. Kalau kita merasakan kita hebat ada lagi yang lagi hebat daripada kita,kalau kita merasa kita teruk ada yang lagi teruk daripada kita....fikirkanlah.
Setiap tindak tanduk kita menggambarkan keperibadian kita. Disitulah terletaknya ilmu yang kita miliki. Disitulah terletaknya kebijaksaana dalam menentukan setiap keputusan yang kita ambil dan setiap apa yang kita buat.....akan menentukan sejauh mana 'kehebatan' diri kita.

10 Disember, 2009

Perjalanan hidup ini...

Kebelakangan ini aku banyak melalui proses untuk lebih mengenali kehidupan ini. Apabila direnungkan kembali,sudah banyak kejayaan yang aku telah dapat dalam menempuhi kehidupan seharian aku. Kejayaan? Ya,kejayaan. Aku telah berjaya untuk menjadi seorang guru,seorang suami,seorang ayah dan seorang anak...aku juga boleh berbangga dengan pencapaian itu sebenarnya.Bukan semua orang boleh menjadi seperti itu dan memiliki segala-galanya.
Tetapi pelikkan? 'Kejayaan' aku itu masih belum membuatkan aku berpuas hati dan masih lagi mencari kejayaan demi kejayaan. Dalam usaha yang berterusan aku itu,mama tidak pernah mengabaikan aku. Mama sentiasa menjadi tulang belakang kejayaan demi kejayaan yang aku peroleh dalam kehidupan aku. Abang Adam,kakak Wani,adik Rayyan pula merupakan anugerah yang tak ternilai yang aku miliki. Mereka merupakan aset aku dan nadi aku untuk terus mencipta kejayaan demi kejayaan nanti.
Sepanjang 10 tahun karier aku sebagai seorang guru,banyak perkara yang aku belajar. Banyak benda yang dapat aku pelajari berkaitan tentang kehidupan ini. Aku sangat bersyukur kerana dikurniakan kerjaya sebagai seorang guru dan pendidik. Ini adalah kerana aku berpeluang untuk belajar dan lebih memahami cara untuk mendidik cahaya mata yang dianugerahkan kepada aku. Aku juga berpeluang untuk menyelami peranan ibu bapa kepada murid aku. Masalah-masalah yang timbul atau halangan yang berlaku sepanjang membesarkan anak-anak...alhamdulillah.
Karier sebagai seorang pendidik ini secara tidak langsung dapat menjadikan aku sebagai seorang yang lebih bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu. Gelaran pendidik ini dapat menjadikan aku lebih berhati-hati dalam melakukan sesuatu tindakan kerana memikirkan nama baik kerjaya ini. Bermacam ragam karenah manusia dapat aku kutip sepanjang hampir 10 tahun bergelar guru. Pelbagai jenis ibu bapa dan juga murid yang aku jumpa. Semua itu dapat aku jadikan panduan untuk terus mencipta kejayaan demi kejayaan nanti.
Isu perguruan sekarang ini juga banyak diperkatakan. Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri telah melancarkan Standard Guru Malaysia (SGM) yang mahukan setiap guru perlu mematuhi standard yang telah ditetapkan iaitu tiga aspek amalan nilai iaitu profesionalisme keguruan,pengetahuan serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi. Setiap guru perlu memiliki aspek tersebut untuk terus relevan dalam membentuk generasi yang akan datang. Besar dan berat tanggungjawab yang dipikul oleh setiap warga pendidik.
Sebelum itu masyarakat disajikan dengan tugas-tugas guru.Bermacam kisah dipaparkan sehingga memaksa Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia membuat penjelasan dalam ruangan Forum akhbar Utusan Malaysia. Beliau terpaksa membuat penjelasan tersebut setelah membaca komen sebelum ini. 'Beban tugas perkeranian' tajuk komen pembaca tersebut. Itulah tugas seorang pendidik sebenarnya...mendidik,luas maknanya mendidik itu. Mendidik seorang manusia...bayangkan tugas kami...
Beberapa hari lepas pula timbul cadangan untuk memberikan kuasa kepada pengetua/guru besar untuk memecat guru yang tidak menunjukkan prestasi seperti yang diinginkan...baru cadangan. Belum lagi dengan istilah 'guru semborono' yang merujuk kepada guru yang mengajar sambil bersahaja...Belum lagi dengan 'pertelingkahan' tentang gred...gred 41,gred32...Itu semua adalah asam garam dalam 'rumah tangga' perguruan.
Walau apa pun yang berlaku,aku berbangga menjadi seorang guru. Kerjaya ini banyak mematangkan aku dalam proses kehidupan aku untuk terus mencipta kejayaan demi kejayaan yang aku impikan.

04 Disember, 2009

IKLAN : WAIMII HEALTH

Assalamualaikum semua...ini ada satu 'produk' baru berkaitan kesihatan di pasaran.
WAIMII HEALTH
ALHADI Minuman Sedap dan Mujarab

Produknya ialah Delima Plus GSC, Cocoa Minda Alhadi dan Beauty Tea...keterangan lanjut lawatilah laman web www.alhadi2525.com.my

28 November, 2009

Birthday Adam

Semalam birthday Adam...diraikan kat Tampin. Adam begitu seronok. Semalam pun dia bangun awal lagi,siap tanya lambat lagi ke siang? nak mandi dan pakai baju raya. Sedar tak sedar yang Adam dah semakin membesar.Begitu cepat masa berlalu.
Wani pun dah semakin petah berbicara. Ada saja setiap patah yang keluar daripada mulut dia tu yang akan mencuit hati aku dan mama. Kadang-kala mulutnya macam orang tua. Adik Ryan pula dah pandai panjat tangga. Tengok-tengok dah ada kat tingkat atas. Itulah telatah permata hati aku dan mama. Nanti aku akan masukkan gambar adam masa hari penyampaian hadiah Tadika Adam masa hari tu.
Mama macam biasalah,begitu sibuk dengan tugas-tugasnya kat pejabat. Kadang tu masa hujung minggu pun telefon mama masih berbunyi lagi...kerja la,apa lagi. Kasihan kat mama,kan? balik rumah pula nak kena layan karenah putera puteri tersayang pula,termasuk aku la tu. hahaha...
Raya aidil Adha ni kami sekeluarga berhari raya kat Tampin. Kalau ikut turn patutnya raya kat Kelantan,tapi aku tak kisah pun. Lagi pun sana tengah banjir. Ada masa nanti boleh balik sana nanti.
Sekolah pun dah mula bercuti. Kerja tahun ni pun masih banyak yang belum diselesaikan. Nampaknya aku akan tetap berada di sekolah. Lagipun aku memang tak ada buat apa pun. Cuti-cuti ni tugas utama aku ialah menghantar dan menjemput mama kerja je lah. Baik aku pergi sekolah,boleh tengok mana-mana kerja yang belum sempurna.

20 November, 2009

Suasana di Bilik Wawasan Permai SKTP

Beginilah suasana ketika kami bermesyuarat. Gambar ni dah lama. Rasanya pada awal tahun hari tu...

19 November, 2009

AJK Dewan sempena HAK SK Tasek Permai

tengah gantung langsir...rajin tak?
ajk pentas...hmmmm?
aku bersama orang kuat ajk dewan....ustaz husaini
penuh skill dan konsentrasi....ingat senang ke?

salam

Assalamualaikum semua...dah lama aku tidak menulis dalam ruangan ini. Asyik masuk gambar je...idea tu ada tetapi tiada masa dan kekuatan untuk menulis. Sebelum terlupa aku nak ucapkan selamat hari lahir kepada kawan baik aku En.Samadalkhir Alias. Beliau mendapat hadiah yang cukup bermakna iaitu cahaya mata tersayang yang selamat dilahirkan pada 9 November lalu. Tahniah Mad dan CT...Insyaallah,ada masa aku pergi menziarah.
Kebelakangan ini aku cukup sibuk...sibuk sangat. Sibuk memikirkan tentang perancangan hidup. Dalam melalui kehidupan ini,bermacam peristiwa yang aku tempuhi. Semua itu pengalaman yang cukup berharga.
Aku juga berkesempatan unutk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia baru-baru ini. Aku ke stadium pada pukul 2 petang...hahaha,mama cakap aku nak pergi berjuang. Suasana di sana sungguh meriah dengan puluhan ribu penyokong Kelantan. Cuma nasib tidak menyebelahi pasukan Kelantan apabila tewas 3-1 kepada Negeri Sembilan...aku pada malam tu balik awal. Gol kedua Hairuddin Omar aku dah bergegas pulang. Sesampainya di rumah,mama dah siap pakai jersi Negeri Sembilan...haha,sabar je. Sebelum ke stadium,mama dah suruh aku bawa jersi Negeri Sembilan...takpe... Balik Tampin lagilah kena kutuk dengan keluarga mertua aku. Kakak ipar aku siap cakap yang aku membakar kerusi...hahaha...Tahun depan ada lagi..
Aku juga menyambut hari lahir aku yang ke 33 pada awal bulan ini. Tiada apa yang menarik,cuma wish daripada mama je...bukan masa untuk aku bergembira lagi kerana banyak impian aku yang belum terlaksana. Cuma rasa macam terlalu penat untuk mencapainya. Betullah kata orang-orang tua,setiap kejayaan itu memerlukan usaha yang gigih dan pengorbanan...insyaallah kejayaan tetap milik aku,cuma masa je aku tidak tahu bila...
Politik? Biarlah dulu....bukan tidak berminat,cuma biarlah dulu. Memerhati dari jauh je. Perjuangan tetap diteruskan...

12 November, 2009

Luahan rasa penyokong bola sepak Kelantan (lawak)

Naik bas naik kereto,
pulah muto pun ado,
LRT komuto pun kito guno,
huje turun pun kito tok ccaro,
tinggal semaye ngorik tinggal iso,
kappong banjir pun ambo tok ccaro,
pakat gi tengok set bola kito,
lepar bedil lepar boto minero,
bakar krusi bakar mejo,
gomo kelate gomo,kelate keno gomo,
masuk final kaloh sokmo,
saloh player ko saloh sapo?
ambik coach mari mano,
baik paddayappa pado dio,
bubuh pemain tok tahu gapo,
jual maruoh jual muko,
dari mulo pah ko bilo-bilo,
senok otok sakit palo,
duk mikir ko puok dio,
ruponyo dio kecek kito,
bo lah duk ggilo,
biar mapuh sakat dio,
tobat doh ambo malah ccaro,
t-shirt meroh ambo trade in ko MU,liverpool,arsenal.....

Itulah antara sms yang aku terima berikutan kekalahan pasukan bolasepak Kelantan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2009 lalu kepada NS....cobaaaaaaaan.

26 Oktober, 2009

Rumah Terbuka

Minggu lepas pada hari Ahad,aku berkesempatan untuk menghadiri jamuan hari raya taman perumahan aku di Taman Saga. Ramai la juga yang datang. Aku sebagai tetamu sahaja. Aku pergi bersama mama. Itupun setelah mama yang mengingatkan aku supaya pergi. Kalau ikutkan aku memang taknak pergi dah. Adalah juga muka-muka yang aku tak pernah nampak dan sebilangan besarnya memang aku dah kenal. Cuma aku tidak berpeluang untuk bertegur sapa.
Sebelah malamnya pula aku berpeluang menghadiri rumah terbuka anjuran UMNO Bahagian Ampang. Tetamu yang hadir antaranya ialah Datuk Noh Omar dan Datuk Abdul Rahman Palil. Bekas bos aku pun ada,Pn.Hjh.Khodijah. Terima kasih kepada beliau kerana melayan aku dengan Midon. Ramai juga ahli UMNO yang datang. Kalau dilihat daripada segi sambutan malam itu,mustahil untuk UMNO kalah dalam pilihan raya baru-baru ini. Perbandingan ini dibuat berdasarkan kata-kata kawan aku yang mengatakan jamuan raya oleh pihak lagi satu kurang mendapat sambutan...Entahlah..

13 Oktober, 2009

Seminar Pemerkasaan Bahasa Melayu SK Daerah Hulu Langat 2009

Alhamdulillah semalam aku berkesempatan untuk mengikuti seminar tersebut yang diadakan di Hotel Oriental Crystal,Kajang. Seminar tersebut berlangsung dari pukul 8 pagi hingga pukul 5 petang.
Pihak pengurusan menjemput dua orang guru pakar dari Pahang untuk menyampaikan ceramah. Penceramah pertama,En.Azmi menyampaikan ceramah bertajuk Pembinaan Item. Penceramah kedua pula,iaitu En.Razali pula menerangkan tentang cara-cara yang berkesan untuk membimbing murid dalam menjawab Kertas 2 terutama dalam Bahagian B dan Bahagian C.
Alhamdulillah,dapat juga ilmu walaupun terpaksa menghabis masa sepanjang hari dalam dewan tersebut. Mengantuk,penat dan bermacam lagi tetapi aku rasa berbaloi walaupun tidak mendapat memberikan tumpuan sepenuhnya.

11 Oktober, 2009

LADAP Profesionalisme Guru

Semalam SK Tasek Permai mengadakan LADAP bertempat di Bilik Mesyurat. Ceramah disampaikan oleh perunding motivasi yang dijemput khas. Maaf kerana saya terlupa nama beliau. Seingatnya ialah En.Zul sahaja. Isi kandungan adalah sama seperti sebelum ini yang menerangkan tentang profesion guru. Kandungannya memang sudah dijangkakan dan sebetulnya apa yang disampaikan itu adalah suatu peringatan yang selalu disampaikan oleh barisan pentadbir atau pihak atasan.
Itu adalah majlis ilmu dan kita patut menghormatinya. Ucapan terima kasih juga kerana peringatan dan ilmu yang diberikan oleh beliau. Pernah tak terfikir yang kadang-kala kita mengetahui tentang sesuatu itu tetapi membiarkan orang lain memberitahu dan mengingatkan kita? Sedangkan apa yang hendak diberitahu itu sememangnya sudah menjadi tanggungjawab kita. Adakah disebabkan itu adalah yang kita ketahui jadi kita mengambil ringan perkara tersebut dan menganggap perkara tersebut remeh. Kalau ditanya kepada setiap guru apakah tugas mereka,pastinya jawapan mereka adalah mendidik. Jadi kenapa kita mesti diingatkan oleh orang lain. Saya pasti semua tahu tanggungjawab mereka dan sememangnya mereka itu sudah mempunyai sikap sebagai seorang guru. Mungkin hanya sebab mereka tidak menunjukkan secara terus sikap itu,mereka tidak boleh dianggap sebagai seorang guru yang tidak hebat,tidak tahu membuat kerja. Proses pembelajaran memerlukan masa yamg panjang. Mungkin ilmu yang cuba disampaikan oleh mereka tidak dapat diadaptasi oleh murid itu sekarang tetapi berguna dalam kehidupan mereka akan datang. Tidak semua murid itu cemerlang kerana mereka ada potensi masing-masing. Mungkin potensi itu yang perlu dicungkil oleh kami,guru-guru. Tidak semua anak murid kita akan menjadi doktor. Kalau semua orang dianugerahkan ilmu untuk menjadi seorang doktor,secara logiknya tidak ada pesakit...tetapi pesakit itu mungkin berilmu dalam bidang lain...fikirkanlah.
Satu lagi,jangan suka merasakan diri kita hebat kerana Allah mengetahui kerana tidak selalunya kita berada di atas kerana pasangan di atas adalah di bawah. Kalau kita tak sempat merasa suasana di bawah mungkin anak-anak kita yang merasakan kedudukan itu disebabkan kekhilafan kita. Inginkah perkara itu berlaku? Ingat IKHLAS dan TANGGUNGJAWAB kita. Seperti kata penceramah semalam, guru sama dengan mengajar,mendidik dan mengasuh. Kita dah tahukan tugas itu cuma beliau bertanggungjawab mengingatkan kita...

06 Oktober, 2009

Reunion SK Tasek Permai

Man Misai
Asmadi Kandasamy
Pali Patu

Sabtu lepas,telah diadakan majlis suka-suka hari raya bertempat di rumah En.Azman yang berjaya mengumpul sebilangan besar bekas cikgu-cikgu SK Tasek Permai. Boleh dikatakan ahli-ahli kelab atau memang kawan baik. Gambar menunjukkan mereka semua melepaskan perasaan masing-masing dengan bermain snooker kerana inilah aktiviti wajib bagi mereka dahulu. Aku dengan Midon hanyalah pemerhati. Tiada dalam gambar ialah Wak Din,malu katanya... Sememangnya aku merindui saat kegemilangan kami dahulu bersama teman-teman yang bukan sahaja rakan sekerja tetapi kawan-kawan baik .

Abang Adam dan aku

Inilah abang Adam dan aku. Gambar ni aku ambil semalam,kat Tampin. Abang Adam beria-ia meminta aku dan mamanya menghantarnya ke sekolah. Katanya nak tunjuk kat kawan-kawannya mama dan ayahnya. Adam begitu seronok apabila kami dapat menghantarnya ke sekolah. Aku juga berpeluang menjemputnya balik dari sekolah....hmmmm,dah semakin besar abang Adam ni...

04 Oktober, 2009

Gambar raya 2009

abang adam malu-malu
senyuman adik wani
mama dan rayyan
aku dan mama
aku la ni...maaf la gambar kurang berkualiti sikit

Apa yang berlaku?

Wah,lama sungguh aku tak update blog aku. Rasa macam sibuk sangat sedangkan hakikatnya tak ada lah sibuk sangat. Aku berkesempatan untuk pulang ke Kelantan raya baru ni. Cukuplahkan,melepaskan perasaan setelah sekian lama tidak pulang. Sempat la juga ke kubur arwah abah,arwah nenek aku dan juga berpeluang menziarahi saudara mara terdekat. Cuma semakin lama aku rasakan semangat persaudaraan semakin lama semakin menjauh. Itu apa yang aku rasakan...
Semalam juga aku sempat menyaksikan perlawanan bolasepak Piala Malaysia antara Kelantan bertemu Tentera di Stadium Selayang yang berkesudahan Kelantan menang 2-1. Itu pun setelah tergopoh-gapah bergegas ke Selayang kerana menghadiri rumah terbuka kawan-kawan. Penat memang la penat tetapi berbaloi kerana dapat jumpa rakan-rakan lama dulu. Cikgu-cikgu kat SK Tasek Permai. Habis je tengok bola aku lepak kat Pandan Indah bersama mereka. Hampir pukul
2 .30 pagi la pulang ke rumah.
Petang ni pula bergegas pulang ke Tampin kerana esok Adam dah bersekolah. Hmmm...itulah yang berlaku...

20 September, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Assalamualaikum semua...di kesempatan ini aku ingin mengucapkan selamat hari raya aidilfitri kepada semua keluarga dan kawan-kawan. Terima kasih atas sms dan emel ucapan hari raya. Aku mungkin berhari raya kat Tampi sampai raya kedua,insyaallah. Itu pun bergantung kepada jadual mama di sini.
Malam raya ada juga member bertanya pada aku tentang perasaan aku samada sedih atau tidak kerana tidak pulang ke Kelantan? Jawapan aku tidak kerana tiada apa yang perlu disedihkan kerana cik lebih maklum tentang aku. Setiap kejayaan memerlukan pengorbanan. Cuma aku sedikit mempunyai perasaan rindu kepada arwah abah. Apabila terdengar takbir raya,aku teringat pada arwah abah. Betullah kata orang,apabila mereka sudah tiada barulah kita akan merasa betapa nikmatnya dapat bersama mereka. Al-fatihah untuk abah...insyaallah,pengorbanan ini akan berbaloi.
Insyaallah,kami akan cuba untuk menziarahi keluarga belah mama seramai mungkin sepanjang berhari raya kat sini. Keluarga aku kat Kelantan tak seramai sewaktu arwah abah masih ada. Dalamkan maksudnya? biarkanlah...
Kawan-kawan?????????????????????????????????????????????????????????????????????

18 September, 2009

Tentang kita

Pernah tak kita terfikir tentang apa yang kita nak sebenarnya dalam kehidupan ini. Kalau ditanya persoalan ini pada aku pun belum tentu aku dapat memberikan jawapan yang sebetulnya...apa yang berlaku,kita akan meneruskan kehidupan ini seperti kebiasaan yang menjadi rutin kita.
Kita juga kadang-kala terpaksa membuat pertimbangan yang sewajarnya dalam setiap keputusan yang diambil. Sering kali keputusan yang diambil setelah kita bertanya pendapat seramai mungkin orang di sekeliling kita sedangkan mereka itu tidak tahu tentang apa yang kita inginkan sebenarnya. Keputusan yang terbaik adalah diri kita sendiri. Orang lain hanya mampu menyuarakan pendapat mereka sahaja kerana apa yang dituturkan kepada kita adalah berdasarkan apa yang mereka agak sahaja sedangkan impaknya akan memberikan kesan kepada kita. Mendapat pandangan orang sekeliling adalah satu tindakan yang bijak tetapi semuanya bergantung kepada diri kita sendiri kerana hanya diri kita sahaja yang mampu memahaminya dan tahu apa yang terbaik untuk kita....

13 September, 2009

30 Bisikan Hati Isteri

Ha...inilah buku untuk para suami di luar sana, "PIKATLAH HATIKU 30 BISIKAN HATI ISTERI" karya Dr. Hassan Mohd Ali. Buku ini hanyalah untuk bacaan tambahan sahaja buat suami-suami mithali seperti aku. hahaha...Aku dah habis membaca buku ini dan ianya bagus untuk dijadikan panduan kerana kadang-kala kita sebagai suami terlalai dan terlupa apa yang diinginkan oleh isteri kita. Ada juga bisikan-bisikan isteri di dalam buku ini adalah perkara biasa yang kadang-kala memang kita juga mengambil berat tentang perkara itu. Yang penting baca dan berilah apa sahaja yang mereka inginkan kerana itu dah sememangnya tanggungjawab kita...untuk MAMA,thanks a lots...mungkin ayah bukan suami dan ayah yang terbaik tetapi ayah akan cuba menjadi yang terbaik.

Pelan Strategik

Aku tengah pening sebenarnya sekarang ni. Aku sedang berusaha untuk menyiapkan pelan strategik yang baru untuk sub-unit disiplin dan pengawas. Pelan strategik ini menggunakan format terkini yang perlu memasukkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010. Ianya sebenarnya mudah tetapi memerlukan tumpuan dan kesungguhan kerana semua borang sudah ada dalam laptop ni...cuma aku je kot yang tidak boleh memberikan perhatian. Sub-unit SPBT yang diterajui oleh Pn.Nik dah lama menyiapkannya. Habis je meeting hari tu,keesokannya beliau sudah menyiapkannya...

12 September, 2009

Seteguh Tekad

Seteguh Tekad,sebuah autobiografi tentang Prof.Dr. Sidek Baba,seorang tokoh pendidik yang berjiwa besar ini. Aku sempat menghabiskan membaca buku ini dalam dua minggu lepas. Buku ini banyak menceritakan tentang liku-liku seorang budak kampung yang miskin dalam menempuhi pelbagai kepayahan sebelum berjaya. Paling menyentuh hati ialah sewaktu beliau terpaksa mengayuh basikal ke sekolah yang jaraknya mencecah 45 batu pergi balik. Bayangkan pengorbanan beliau...Beliau juga turut menyentuh tentang kesusahan beliau memahami pengajaran guru yang tidak dapat memahami masalah yang beliau hadapi. Bagi Prof. Dr. Sidek Baba,apa yang berlaku waktu itu adalah proses pemindahan maklumat tanpa beliau dapat mempelajari ilmu yang cuba disampaikan oleh guru tersebut. Lebih-lebih lagi bahasa yang digunakan ialah Bahasa Inggeris. Beliau pada waktu itu adalah budak kampung tanpa mempunyai asas dalam bahasa Inggeris pada ketika itu...
Kesimpulannya,setiap kejayaan itu perlulah usaha yang berterusan dan semangat yang kuat.Tidak ada kejayaan tanpa perlu berusaha...

Dalam kesibukan ini...

Assalamualaikum semua... Agak lama aku tidak meluangkan masa untuk mencoretkan tentang apa yang berlaku pada aku semenjak kebelakangan ini. Bukannya apa,masa dan kekurangan kesempatan untuk aku mencatatkan sesuatu. Kalau nak diikutkan banyak perkara yang berlaku pada aku dalam tempoh hampir tiga minggu ini.
Sedar tak sedar sudah masuk hari yang ke 22 kita semua menjalani ibadah puasa...maknanya tak lama lagi kita akan berhari raya. Hmmm...tahun ini aku berhari raya kat Tampin dulu...Mungkin raya yang kedua atau ketiga baru pulang ke Kelantan. Aku juga tidak berkesempatan untuk pulang ke Kelantan untuk berpuasa bersama cik. Maaf. Semoga pengorbanan yang aku lakukan ini mendapat rahmatnya...Entahlah,susah untuk aku jelaskan...
Puasa tahun ini juga aku rasakan macam kurang sedikit tumpuan aku dalam hal ibadah ini. Aku rasakan macam aku penat sangat... Cuma aku berpuas hati apabila aku sempat berterawih dengan mama kat masjid. Maklumlah semenjak berkahwin,inilah pertama kali kami berpeluang menunaikan ibadah ini...Anak-anak? Bibik la yang jaga.
Sekolah? Tiada apa yang menarik cuma di bawah guru besar yang baru ini lebih fleksibel rasanya. Mungkin disebabkan pengalaman dan budi bicara beliau menjadikan corak pentadbirannya lebih disenangi. Pengalaman baru bagi kami semua...yang pasti aku akan tetap memberikan sokongan padu kepada barisan pentadbir.
Dalam situasi sekarang aku mungkin sudah dapat menyesuaikan diri tanpa kawan-kawan aku yang hebat dulu. Cuma sekali sekala aku mungkin menhubungi mereka,untuk minum dan bergelak ketawa. Macam baru-baru ini,aku ke Gombak untuk minum debgan Pudin. Dah lama aku tak jumpa beliau. Tiada apa cuma rasa macam dah terlalu lama aku tidak duduk semeja bersama kawan-kawan. Sebelum puasa hari tu pun aku sempat minum bersama Jai dan Israq kat Tesco Kajang. Kawan-kawan yang lain? Entahlah...ada masa aku akan menghubungi mereka. Masing-masing sibuk dengan tugas harian dan kehidupan mereka. Sesekali aku akan minum juga dengan Khalid,M.A di Hospital Ampang...
Mama juga hairan dengan aku kerana dua tiga minggu ni aku kerap keluar minum sehingga balik ke rumah pada pukul 2 atau 3 pagi...hahaha. Itulah caranya aku melepaskan kebosanan aku. Mungkin juga berkaitan peningkatan umur...kata kawan-kawan aku la. Macam krisis usia. Ada ke? Yang pasti aku memang tidak suka terperap lama-lama kat rumah tanpa melakukan sesuatu...Sebelum ini aku dikelilingi oleh penuh dengan kawan-kawan...
Sekarang aku banyak menghabiskan dengan membaca buku-buku yang berunsur ilmiah dan motivasi. Saja,untuk penuhkan masa aku. Aku juaga masih belum mencapai matlamat aku dalam bidang perguruan ini. Insyaallah...aku akan mencapainya,cuma mungkin bukan dalam jangka masa terdekat. Hanya diri kita yang mengetahui apa yang sebenarnya kita inginkan. Diri kita juga yang mengetahui sejauh mana kemampuan diri kita kerana tidak mungkin kita dapat menipu diri sendiri...

23 Ogos, 2009

Cuti Sekolah Pertengahan Sem.2

Awal Ramadan disambut bersama dengan cuti sekolah. Ramai kawan-kawan yang menghantar sms mengucapkan selamat menyambut Ramadan. Ramai juga yang mengambil kesempatan cuti sekolah ini untuk pulang ke kampung masing-masing untuk menyambutnya bersama keluarga. Aku? Tidak berkesempatan untuk pulang rasanya. Mungkin alasan yang tidak kukuh sebenarnya. Insyaallah aku akan pulang juga,cuma masa sahaja yang aku tidak dapat nak tentukannya.
Sabtu hari tu aku ada kelas tambahan untuk tahun 6. Saja tolong kawan-kawan. Itulah saja sumbangan yang dapat aku berikan untuk membantu mereka. Sebut tentang kawan-kawan aku ni,mereka sangat prihatin pada aku. Mereka ini banyak membantu aku kat sekolah. Jadi apa salahnya aku membantu mereka. Lagipun kita tidak tahu bila lagi kita dapat menolong mereka. Aku tidak pernah berkira dalam soal kawan-kawan ini kerana aku tahu mereka begitu penting dalam kehidupan kita. Selain daripada keluarga,kawan-kawanlah yang banyak membantu kita. Macam aku ni, boleh mati kutu sekiranya tiada kawan-kawan. Macam sekarang aku rasakan masing-masing sibuk dengan karier masing-masing. Aku saja yang mempunyai banyak masa senggang. Itu yang Dien cakaplah. Tapi memang betul pun,aku memang mempunyai banyak masa senggang. Che Nai juga pernah mengatakan yang aku perlu melakukan sesuatu untuk menambah pendapatan,lagipun aku sudah menamatkan pengajian aku. Akan difikirkan...
Sememangnya apabila banyak masa senggang ni aku banyak berfikir tentang diri aku. sejujurnya aku banyak membuang masa dalam usaha untuk memantapkan karier aku dalam bidang pendidikan. Aku masih belum boleh berbangga dalam pencapaian aku sepanjang sepuluh tahun bergelar guru. Aku belum dapat merasakan kepuasan maksimum dalam usaha mendidik anak murid aku. bukan bermakana aku tidak melakukan sebarang usaha cuma mungkin matlamat pencapaian yang aku letakkan terlalu tinggi. Ya,memang tinggi kerana aku ingin menjadi guru seperti di era selepas merdeka dahulu. Guru di zaman dahulu begitu komited dengan karier masing-masing. Mereka juga boleh dikatakan sebagai seorang yang cukup ilmu dalam semua bidang. Keikhlasan ini yang masih aku cari. Bukan aku bermaksud yang guru zaman ini tidak hebat,cuma persekitaran yang membuatkan kilauan mereka ini pudar. Kehebatan guru-guru ini terbenam dengan isu-isu yang remeh temeh yang menjejaskan imej profesion ini...
Sebenarnya ada benda lain yang ingin aku tulis tetapi masih belum sampai masanya...tunggulah kerana aku juga masih belum bersedia untuk mengupas isu ini. Ianya juga berkaitan dengan kehidupan kita. Kehidupan kita seharian...selamat berpuasa...

21 Ogos, 2009

Macam-macam Peristiwa

Assalamualaikum...malasnya nak menulis dalam blog aku ni. Tiada idea dan mood untuk mencatatkan suka duka aku kebelakangan ini. Cuma pada 11 Ogos hari tu,aku telah selamat menghadiri majlis konvokesyen aku di UPM. Ramai la juga kawan-kawan yang menghadirinya. Akhirnya penat lelah selama lebih kurang tiga tahun berbaloi.
Seterusnya ialah dengan berlangsungnya majlis perpisahan bekas guru besar aku pada 18 Ogos lepas. Selain daripada itu tiada apa yang menarik untuk aku kongsikan. Kalau adapun untuk diri sendiri sahaja. Aku juga sibuk dengan tugas rutin kat sekolah. Cuma aku kurang penumpuan sedikit. Mungkin sebab letih sangat atau hampir nak bercuti.
Aku juga ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan semoga kita dapat beramal ibadah dengan tekun...Insyaallah...

09 Ogos, 2009

Tujuh Wasiat Raja Melayu

Aku hanya ingin berkongsi dengan rakan-rakan tentang wasiat Raja-raja Melayu. Wasiat ini aku petik dalam Berita Minggu bertarikh hari ini,9 Ogos 2009. Berikut adalah wasiat tersebut;

1. Kami namakan dan kami panggil dia,bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung
Persekutuan Tanah Melayu ( sekarang dikenali dengan nama Malaysia )
2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan
untuk anak cucu kamu,selain gunung-ganang,tasik dan hutan simpan,tanah simpanan Melayu
sehingga nisbah 50 peratus,selebihnya kamu rebutlah bersama kaum lain.
3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu,kami
tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan
ancaman luar.
4. Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah
negara ini.
5. Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.
6. Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.
7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk
melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain.
( Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak )

Terima kasih kepada Raja Muda Perak,Raja Dr. Nazrin Shah yang yang membentangkan tujuh wasiat Raja-Raja Melayu sebagai peringatan yang perlu diambil berat setiap rakyat. Mengikut ahli sejarah,Prof. Datuk Dr Ramlah Adam,beliau tidak pernah mengetahui mengenai wasiat berkenaan kerana ia adalah dokumen rasmi yang disimpan Majlis Raja-Raja Dan pendedahan Raja Muda Perak perlu dipandang serius setiap warga negara.Petikan Berita Minggu,9 Ogos 2009.
Aku bersetuju dengan kenyataan tersebut dan pendedahan wasiat tersebut kena pada masa dan situasi sekarang. Renungkanlah...

08 Ogos, 2009

Ucapan Terima Kasih

Ucapan terima kasih adalah tanda penghargaan. Kalau dalam sms,selalunya kita akan menaipnya sebagai 'tq'. Jadi sewajarnya kita mengucapkan terima kasih sekiranya individu terbabit telah menolong atau membantu kita. Mesti akan ada yang tertanya-tanya kenapa aku menulis tentang 'tq' ini...bukan apa,sebagai penghargaan kepada seseorang yang mengingatkan aku tentang 'tq' ini. Sememangnya aku menghargai beliau...terima kasih sekali lagi sebagai tanda penghargaan yang tidak terhingga...

Kehidupan

Banyak perkara yang berlaku dalam hidup aku kebelakangan ini. Kalau diikutkan banyak perkara yang ingin aku coretkan dalam ruangan ini tetapi mustahil untuk aku kongsikan semua. Mungkin hanya sebahagian sahaja yang mampu aku tulis.
Sedar tak,yang aku sudah lama tidak mengupas atau menulis tentang perkembangan politik tanah air kita. Situasi politik yang berlaku sekarang begitu mengguris perasaan aku. Terakhir sekali adalah tentang demonstrasi jalanan di Kuala Lumpur baru-baru ini. Apabila melihat paparan berita dalam televisyen,aku sedih sebenarnya. Aku hanya mampu melihat tajuk utamanya sahaja dan perkembangan berkaitan aku dapatkan melalui akhbar sahaja. Ini adalah disebabkan mereka yang disebutkan namanya yang terlibat itu adalah sebangsa dengan aku sedangkan rakan-rakan lain tidak kelihatan. Biarlah...sebab kalau kita berdiam diri bukannya kita mengiyakan perkara tersebut tetapi untuk memberikan mereka ruang untuk berfikir atas tindakan mereka. Insyaallah...
Kita kembali semula kepada profesion aku,guru. Sekarang adalah masa untuk menanda kertas jawapan murid-murid yang telah selesai menduduki Ujian Fasa 2 minggu lepas. Nanti akan kelihatanlah kawan-kawan aku yang sibuk bersama-sama kertas jawapan mereka. Siap diusung ke sana -sini. Siap ada yang bawa pulang ke rumah. Macam aku memang la lambat sikit. Kalau bawa pulang pun macam tu la juga. Tak bertanda... Tapi ada juga cikgu-cikgu yang sudah siap menandanya. Bukan apa,tanggungjawab,kata mereka. Betul juga tu,nanti guru kelas susah nak masukkan markah dalam buku laporan nanti.
Aku juga nanti,insyaallah akan mendapat bos baru iaitu Guru Besar yang baru. Ini adalah kerana Pn. Hjh. Khodijah akan bertukar ke sebuah sekolah yang lebih besar. Sedih? Mungkin juga akan terasa kesedihan itu kerana beliau merupakan ketua aku selama hampir sepuluh tahun. Mungkin ada perkara yang tidak aku sukai tetapi aku tetap menghormati beliau sebagai ketua aku. Dimana-mana akan ada situasi sebegitu. Cuma terpulang kepada kita untuk menghadapinya. Masalah di tempat kerja adalah sebahagian kehidupan normal yang akan dilalui oleh setiap orang. Yang berbeza adalah cara kita untuk mengendalikan masalah itu. Di situlah terletaknya kebijaksanaan kita. Kita sendiri dapat menilai kebolehan kita dalam menghadapi perkara sedemikian. Macam aku,contohnya. Walaupun hampir sepuluh tahun dalam bidang ini,aku dapat merasakan yang aku masih belum berilmu sepenuhnya. Masih banyak yang perlu aku penuhi untuk menjadi seorang yang cemerlang dan terbaik. Aku akui dalam bab itu. Banyak kekurangan yang perlu aku perbaiki. Aku hanya berpuas hati apabila aku sendiri yang dapat menghargainya. Aku tahu dimana tahap kemampuan aku. Mungkin akan ada yang berkata,apa yang diperlukan lagi. Tetapi aku sebenarnya bekerja untuk kepuasan diri sendiri dan tanggungjawab aku sebagai pendidik.
Banyak perkara yang harus kita tempuhi untuk berjaya dan setiap perkara itu akan menguji kita, sejauh mana kemampuan kita dalam menghadapi perkara-perkara tersebut dan insyaallah kita akan mendapat kepuasan yang tidak terhingga sekiranya kita berjaya menempuhinya.

04 Ogos, 2009

Ujian Fasa 2

Hari ini murid-murid aku akan menduduki ujian fasa 2 sehingga hari Jumaat nanti. Ini bermakna aku akan sibuk sekali lagi untuk menanda kertas ujian mereka dan buku laporan kemajuan mereka. Hari ini mereka akan menjawab soalan Bahasa Malaysia Kertas 1 dan Kertas 2. Apa yang dapat dilihat berdasarkan pemerhatian aku,mereka ini sebenarnya kurang membaca. Maksud aku selain daripada buku teks. Mereka ini kurang mendapat pendedahan berkaitan aktiviti membaca. Cuma kalau bab hiburan dalam televisyen cepat aje boleh bagi jawpannya apabila ditanya. Itu menunjukkan mereka sebenarnya boleh menguasai kemahiran-kemahiran lain cuma mungkin terbatas akibat pelbagai faktor yang lain.

02 Ogos, 2009

Abang Adam.

Dapat juga jumpa abang adam. Sepatutnya aku balik petang semalam tetapi abang aku datang rumah aku kerana beliau menghadiri majlis perkahwinan saudaranya,belah kak ni. Jadi aku balik pagi Ahad tadi. Adam begitu seronok dapat jumpa dengan kami. Bergenang juga la air matanya apabila diusik oleh unclenya dan mummynya. Nampak sangat yang Adam ni sebenarnya rindu sangat kat kami. Kami pun sebenarnya juga amat sayangkan Adam. Ayah,mama,adik wani,dan adik rayyan pun sayangkan abang adam. Bibik pun sayang kat kau Dam,hahahaha...

Perkhemahan Badan Beruniform SKTP 2009

Pada 31 Julai lepas,sekolah kami mengadakan perkhemahan untuk unit beruniform. Perkhemahan ini diadakan di sekolah sahaja. Tempohnya cuma semalaman je. Bermula petang Jumaat dan berakhir pada petang Sabtu. Murid yang terlibat pula adalah murid tahun 6. Aku terlibat sebagai fasilitator dan juga merangkap ajk teknik dan peralatan.
Tahniah untuk semua guru di bawah kepimpinan cikgu A'baidi yang bagi aku cukup cemerlang dalam usaha untuk menjayakan perkhemahan ini. Aku 'salute' hang Bai... Malam tu kami adakan sesi burung hantu untuk memberikan pemdedahan kepada murid. Tidur pukul 4.30 juga la aku,kat rumah la...hahaha. Sebelum tu diadakan sesi ceramah berkaitan tentang unit beruniform. Aku kena 'part' pertolongan cemas. Apa lagi,baca sliad power point je la. Aku memang tak expert dalam bidang unit beruniform ni.
Pagi esoknya diadakan pula aktiviti memasak dan membina gajet. Dalam aktiviti memasak aku dan cikgu Hasiah sebagai fasilitator kumpulan 1. Pelbagai karenah peserta yang dapat aku lihat. Terhibur la juga... Penat memang penat tetapi tidak berbaloi...memang tidak berbaloi...

26 Julai, 2009

Pilihan Malaysia vs Manchester United


18 Julai lalu aku berkesempatan untuk menyaksikan perlawanan persahabatan di antara pasukan bawah 23 Malaysia menentang Manchester United. Aku ke Stadium Nasional Bukit Jalil bersama dengan Jai. Terima kasih mama kerana memberikan ayah tiket ini. Stadium hampir penuh dengan puluhan ribu penyokong yang kebanyakannya adalah penyokong MU. Segenap ruang tempat duduk dipenuhi oleh penonton. Tapi alhamdulillah kerana kami dapat masuk ke stadium lima minit sebelum sepak mula. Jalan menghala ke Bukit Jalil sesak teruk tetapi kami dapat 'park' kereta dengan mudah. Kebanyakan penonton begitu teruja untuk menyaksikan perlawanan ini. Apa yang dapat dilihat,pasukan kebangsaan kita begitu bersungguh-sungguh untuk menyaingi pasukan Liga Inggeris itu. Tahniah kepada Amri Yahyah yang berjaya menjaringkan dua gol yang menarik. Aku sebenarnya adalah peminat Liverpool. Puas hati juga kerana dapat menyaksikan kelibat Micheal Owen yang pernah menjadi bintang semasa bermain di Liverpool. Yang pasti,MU adalah satu pasukan yang hebat dan pasukan negara kita pula dapat menyaingi mereka tapi macam biasalah...kalau ada perkataan tapi tu mestilah ada kekurangannya. Kekeurangannya ialah dari segi taktikal,kecergasan pemain dan kita tidak mempunyai pemain yang berkreativiti untuk bersaing di peringkat global.

MLM

Apa yang anda semua bayangkan apabila disebut MLM? Pastinya tentang satu bentuk perniagaan yang memerlukan kita mencari rangkaian pelabur untuk membantu kita mencapai sesuatu target atau tahap tertentu.
Minggu lepas boleh dikatakan beberapa kali aku dibawa keluar untuk menunjukkan tentang kehebatan perniagaan ini. Mula-mula sekali aku pulang pada pukul 4 pagi. Yang ini aku keluar minum kat Shah Alam. Mula-mula minum,lepas itu bermulalah sessi penerangan tentang kehebatan perniagaan ini yang banyak telah membantu mereka semua mencapai impian. Aku hanya mendengar sahaja.
Mungkin untuk lebih meyakinkan aku,kawan aku ni membawa aku ke Taman Melawati pula untuk melihat majlis perjumpaan ahli-ahli pula. Dalam perjumpaan ini lebih kepada sessi penerangan untuk ahli-ahli meningkatkan pengetahuan mereka untuk menjana pendapatan mereka. Yang ini juga aku sampai rumah hampir jam 2 pagi.
Seterusnya pula adalah kemuncaknya. Aku dibawa ke Gombak pula. Lagi besar pula majlisnya. Sesampainya aku di situ,aku dapat melihat deretan kereta mewah yang berada di tempat letak kereta. Perrrghhh...hebat betul bisnes ini....Di sini pula dapat aku lihat ramainya orang yang mempunyai impian untuk bergelar orang kaya. Macam-macam jenis ragam manusia yang dapat aku saksikan.. Ramai yang bermimpi untuk menjadi senang. Kiranya kat sini adalah tempat berkumpulnya mereka yang telah berjaya dalam perniagaan ini dan ingin berkongsi dengan ahli-ahli yang lain. Untuk yang ini aku pulang awal sikit rasanya,dalam pukul 2 pagi juga la.
Hampir seminggu juga la aku rasakan terlalu sibuk. Itu belum lagi menyertai mereka,sekadar memerhatikan sahaja tetapi sudah dapat aku merasakan kesibukan sebagai ahli perniagaan yang berjaya. Hahaha...dah keluarkan modal,kenalah berusaha untuk pastikan modal yang telah dilaburkan itu dapat balik dan seterusnya meraih keuntungan...

Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP),Pengurusan Majlis Rasmi & Protokol Di Sekolah

Semalam kami semua menghadiri kursus yang diadakan di sekolah. Kursus ini disampaikan oleh Pn.Rafidah yang mengikuti kursus ini yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Selangor. Banyak juga input yang diberikan berkaitan dengan protokol dan juga pengurusan majlis rasmi di sekolah. Permulaannya,perhimpunan minggu ini akan mengikut tatacara yang sebenarnya mengikut apa yang telah disampaikan oleh cikgu Rafidah. Kena pula kumpulan aku yang diketuai oleh cikgu Israq akan bertugas minggu ini. Aku pula akan memberikan ceramah tentang adab dan peraturan makan di kantin. Kursus semalam berakhir tengah hari.

11 Julai, 2009

Abang Adam,puzzle dan kerja sekolahnya

Inilah 'puzzle' Transformer Adam. Adam boleh siapkan sendiri 'puzzle' ni. Itupun dah ada yang hilang. 'Puzzle' ni ada kat KL. Aku bawanya balik Tampin minggu ni. Apabila Adam dapat je 'puzzle' ni terus je dia buat. Dia dapat siapkan seorang diri je 'puzzle' ni. Aku hanya memerhatikannya sahaja. Tapi masa dia buat tu,mulutnya bising betul. Asal dia dapat meletekkan 'puzzle' tu kat tempat yang sepatutnya,mesti dia akan menjerit keseronokan. Aku ingatkan dia akan meminta bantuan aku sebab selalunya dia akan bertanya nak letak kat mana. Tapi tadi dia buat sendiri. Nampak sangat yang dia begitu seronok. Adam juga semakin petah bercakap. Cuma sedikit nakal je. Tapi aku tahu dia cuma rasa seronok apabila melihat aku dengan mama ada di hadapan matanya. Adam,adam....


Inilah kerja sekolah Adam. Adam begitu seronok dapat bersekolah kat Tampin. Walaubagaimanapun,kalau boleh dia juga ingin kami dapat bersamanya. Setiap kali mamanyya call,Adam akan bertanya,bila nak jemputnya? Katanya sekolahnya dah cuti. Lagi satu,asyik je cakap mainannya dah tiada lagi. Macam-macam dia minta. Paling menarik,Adam minta dibelikan beg sekolah baru. Katanya,beg sekolah sekarang dah buruk. Adam memang cukup bijak sekarang ni.


Tadi pun masa kami sampai kat Tampin,terus je meluru ke arah kami dan terus je memeluk aku. Soalan pertama dariprada mulutnya ialah,ayah pergi mana? Yang paling seronok,adik Wani la dapat jumpa abang Adamnya. Adam juga sempat menunjukkan kerja sekolahnya kepada aku. Rajin juga Adam ni. Nasib baiklah ibunya dan mummynya rajin juga memantaunya. Tapi tetap juga tidak lupa pada permainannya. Asyik je tanya tentang 'power ranger' nya. Aku sudah berjanji untuk membelikannya beg sekolah yang baru. Mewahnya budak adam ni.

10 Julai, 2009

Ponteng, Bahagian 2

Aku ingatkan perkara aku pergi ke rumah anak murid aku habis kat situ je. Rupa-rupanya tidak. Pagi ni,sesampainya aku kat sekolah,bos panggil aku. Apa lagi ni,dah la aku lewat sebab tersangkut dalam kesesakan lalu lintas kat Bandar Tasik Selatan. Rupanya ibu kepada anak murid aku telah menghantar surat kepada aku untuk meluahkan perasaan tidak puas hatinya kepada aku. Dia telah menuduh aku bahawasanya aku telah menyebarkan cerita tentang keadaan keluarganya kepada guru-guru lain di sekolah. Perkara tersebut telah membuatkan anaknya malu untuk datang ke sekolah. Antara ayat dalam surat itu ialah :

" Saya tidak menyangka orang yang tidak sayang mulut akan datang ke rumah saya"

Aku tidak tahu apa yang bermain dalam benak fikirannya. Setelah saya bertanya kepada guru-guru anaknya iaitu kakak kepada murid dalam kelas aku,rupanya memang kakaknya ini ada masalah dengan guru mata pelajaran tertentu. Ibu budak ini menulis surat setelah anaknya mengadu dengan mengatakan aku telah membuatkan anaknya malu sebab telah menceritakan kisah keluarganya kepada guru-guru lain. Untuk makluman,saya sedikit pun tidak mahu mengambil tahu pasal urusan mereka sekeluarga. Tentang masalah mereka,itu adalah hal mereka. Tugas aku hanya memastikan mereka datang ke sekolah. Itu sahaja.
Cuma aku rasa ralat apabila dia membuat tuduhan sebegitu. Sebabnya,aku memang tidak ingin ambil tahu langsung tentang apa yang berlaku di luar kemampuan aku. Aku cuma menjalankan kewajipan aku. Dalam surat itu juga dia menyatakan yang dia sakit hati. Ha...aku lagi sakit hati kerana melibatkan aku dalam hal ini. Tapi aku memang sakit hati pun.
Untuk penutup surat dia,ada ayat yang berbunyi begini :

" Saya tau,jika keabaiban diri saya diperhebohkan,orang lain juga pasti memperhebohkan
keburukan anda di suatu ketika."

Apakah yang anda semua rasa apabila ada seseorang yang menulis surat sebegini kepada kita sedangkan kita tidak pernah cuba ambil tahu masalah dia dan tidak pernah terlintas sedikit pun untuk membicarakan perihal mereka sekeluarga. Itulah doa seorang ibu kepada anak murid saya untuk saya. Saya cuma mampu tersenyum dan berdoa supaya dia bahagia dengan anak-anaknya itu.
Tujuan aku menulis dalam blog aku ini pun bukan bertujuan untuk memalukan sesiapa cuma untuk meluahkan perasaan aku. Aku cuma seorang guru biasa yang juga bergelar seorang manusia biasa. Itulah cabaran seorang guru yang terpaksa menangani pelbagai karenah untuk membentuk seorang insan. Tiada seorang guru pun yang mahukan anak muridnya tercicir dalam pelajaran.

06 Julai, 2009

Abang Adam dan aku

Hari ini Adam mula sekolah kembali kat Tampin. Dia yang beria-ia nak ke sekolah. Lagipun sepupunya Insyirah ada sekali. Jadi terpaksalah aku tinggalkan dia kat Tampin. Masa tinggalkan dia kat Tampin semalam,dia macam sedih juga. Aku pun tak ingin nak tinggalkan dia.....tapi nak buat macam mana... Aku balik sekolah tadi,adik Wani terus cakap yang abang Adam kat Tampin. Dia pun nak tinggal Tampin,tak nak tinggal sini...tak habis-habis bercakap pasal abangnya. Kesian pula aku tengok adik Wani.
Aku pula makan tengah hari seorang saja hari ini. Kawan-kawan semua ada hal. Inilah antara perkara yang aku paling tak suka,makan seorang diri. Dulu,sewaktu mama masih bekerja kat Pandan Indah aku sanggup pergi 'lunch' bersama mama. Bukan apa,aku rasa macam tak best je bila makan sendirian. Mungkin aku boleh ajak adik Wani kot...

04 Julai, 2009

saing-saing aku

Semalam semasa aku hantar kawan sekolah aku,Dien dan Mas Ayu ke LRT Cempaka,aku melalui jalan Pandan Mewah berdekatan Hospital Ampang. Semasa kat situ tiba-tiba 'phone' aku berbunyi. Khalid yang 'call'. Dia M.A kat hospital tu. Rupanya dia nampak aku. Mungkin dia hairan nampak ada dua orang perempuan dalam kereta aku. Lepas tu aku mendapat panggilan daripada Jimi pula,pun sama. Kehairanan kot... Tetapi aku gembira juga kerana kawan-kawan kiranya mengambil berat pasal diri aku. Mereka juga tidak mahu melihat aku melakukan perkara yang bukan-bukan. Terima kasih kawan...hahahaha. Yelah,mungkin mereka beranggapan yang aku membuat hubungan di luar pengetahuan Mama. Tetapi mereka semua rakan sekolah yang memang rapat dengan aku. Mama pun tahu,sebab itulah aku tidak kisah sangat. Cuma rasa kelakar juga...hahahaha. Itulah kawan-kawan aku...

03 Julai, 2009

Lawak atau melawak

Kadang-kala perbuatan kita boleh menyakitkan hati orang lain walaupun pada hakikatnya kita sekadar melawak. Kenapa ye? Mungkin kita menganggap orang lain boleh menerima lawak kita macam orang lain yang boleh menerimanya. Sebenarnya kita perlu peka dengan situasi sekeliling. Mungkin ada orang yang tidak boleh menerima lawak kita. Ada juga yang boleh menerimanya. Ianya terpulang kepada individu yang membuat lawak dan yang menerima lawak itu. Pertalian hubungan juga memainkan peranan penting. Ada yang kita anggap kawan karib sekali pun akan ada perkara-perkara yang sensitif untuk dibuat lawak. Jadi,fikirkanlah perasaan orang lain sebelum melawak. Bukan apa,takut orang itu tidak dapat menerima lawak kita...
Aku menulis pasal kes melawak ni pun bukan apa,cuma peringatan untuk kawan-kawan. Sebelum ianya berlaku dan akan mendatangkan suasana yang tidak mesra,baik kita berhati-hati. Hati orang mana kita tahu,rambut je sama hitam,kan?

02 Julai, 2009

Mesyuarat Kurikulum

Insyaallah,hari ini aku dan guru-guru lain akan bermesyuarat lagi. Kali ini mesyuarat kurikulum pula. Antara agendanya ialah 'post mortem' tentang peperiksaan semester 1 yang baru selesai sebelum cuti penggal. Hari ini ketua panitia akan membentangkan hasil analisis dan perbincangan yang telah dibuat semasa mesyuarat panitia sebelum ini. Penyelaras tahun juga akan turut sama berkongsi pendapat tentang keputusan murid-murid mengikut tahun masing-masing.

30 Jun, 2009

Draf minit mesyuarat Panitia BM

SEKOLAH KEBANGSAAN TASEK PERMAI
68000 AMPANG,SELANGOR DARUL EHSAN

MINIT MESYUARAT PANITIA BAHASA MALAYSIA KALI KEDUA 2009

TARIKH : 22 JUN 2009
HARI : Isnin
MASA : 1.10 petang
TEMPAT : Bilik Peperiksaan

Kehadiran :

1. En.Hamidon Abu Bakar (Ketua Panitia)
2. En.Mohd Tarmidze Abu Bakar (Setiausaha)
3. En.Mohd Azelan Ibrahim
4. En.Israq Affendy Ramli
5. En.Idris Ahmad Suhaimi
6. Pn.Rafidah Idris
7. Pn.Hasiah Derani
8. Pn.Siti Aminah Mat
9. Cik Mazlina Mohamud

Tidak Hadir :
1. Pn.Nik Zubaidah bt Nik Mustafa ( kursus)
2. Pn.Azmin Budiati bt Arshad ( ke PPD )

1.0 Ucapan alu-aluan En.Hamidon Abu Bakar,Ketua Panitia Bahasa Malaysia.
1.1 En.Hamidon mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua guru-guru Bahasa
Malaysia yang memberikan kerjasama untuk menghadiri mesyuarat panitia.
1.2 Beliau memaklumkan objektif utama mesyuarat pada hari ini ialah untuk
menjalankan ‘post mortem’ peperiksaan Semester Satu yang lepas.

2.0 Analisis Peperiksaan Semester Satu 2009
2.1 En.Hamidon telah membentangkan analisis peperiksaan semester satu
telah dijalankan pada sebelum cuti semester yang lalu. (Lihat Lampiran)

3.0 Analisis Kekuatan,Kelemahan dan Tindakan Susulan
3.1 Cik Mazlina selaku guru mata pelajaran Tahun Satu telah menyatakan bahawa
sejumlah 61.43% ( 43/70 ) murid Tahun Satu telah gagal dalam Bahasa
Malaysia Kertas 1. Manakala untuk Kertas 2 pula sejumlah 30% orang
murid telah mendapat Gred D dan E. Beliau menyatakan situasi ini berlaku adalah
kerana murid – murid tidak biasa dengan soalan berbentuk objektif.
Ini menurut beliau, murid-murid tidak didedahkan dengan bentuk soalan objektif
kerana sewaktu Ujian Fasa 1 bentuk soalannya adalah subjektif. Ini
membuatkan murid keliru semasa menduduki peperiksaan tersebut. Faktor
seterusnya pula adalah kerana aras soalan yang terlalu tinggi dan tidak mencapai tahap
murid-murid kita. Lagipun menurut Cik Mazlina,ada juga
soalan yang tidak mengikuti sukatan pelajaran di dalam Tahun 2.
Untuk mengatasi masalah tersebut,beliau menjelaskan akan mengadakan
Perbincangan bersama seorang lagi guru mata pelajaran untuk Tahun 1 iaitu Pn.Nik
Zubaidah.Beliau juga mensasarkan peratus lulus untuk Kertas 1 ialah 60% manakala
untuk Kertas 2 pula adalah sebanyak 80%.
3.2 Pn.Rafidah juga menjelaskan perkara yang sama iaitu murid Tahun 2 juga
Menghadapi masalah dengan soalan objektif. Beliau turut menjelaskan yang
Murid Tahun 2 keliru dengan jawapan yang diberikan dan tidak tahu untuk
memilihnya. Hasilnya Tahun 2 mencatat 60.98% (50/82) murid yang lulus
untuk Kertas 1 manakala 39.02% pula gagal dengan mendapat gred D dan E.
Kertas 2 pula menurut beliau pula adalah disebabkan oleh kegagalan murid
untuk menguasai kemahiran 2M. Sebanyak 28% (23/82) murid dalam Tahun 2 yang
gagal dalam Kertas 2.
Antara langkah yang telah dan akan dijalankan ialah dengan mempelbagaikan
latihan dalam bentuk soalan objektif dan menjalankan aktiviti pemulihan dan
pengayaan.
Pn.Rafidah meletakkan sasaran sebanyak 70% untuk murid lulus bagi Kertas 1
dan sebanyak 80% bagi Kertas 2.
3.3 Tahun 3 pula mengikut En.Idrid,selain mengalami kekeliruan dalam soalan
berbentuk objektif,factor utama yang menyebabkan 26% (17/63) orang
murid gagal dalam Kertas 1 dan 34% (22/63) orang murid gagal dalam
Kertas 2 adalah disebabkan oleh kerana murid-murid tidak dapat menguasai
kemahiran 2M.
Sebagai jalan penyelesaian,beliau mencadangkan agar aplikasi ICT digunakan
dalam proses pengajaran dan pembelajaran sewaktu menjalankan kelas
pemulihan untuk murid yang bermasalah dalam kemahiran 2M.
Sasaran beliau untuk murid lulus dalam Kertas 1 ialah 78% manakala untuk
Kertas 2 pula sebanyak 70%.
3.4 Tahun 4 pula mencatakan 80% (68/85) orang murid yang lulus untuk Kertas1.
Menurut Pn.Hasiah selaku guru mata pelajaran,ini adalah disebabkan oleh kerana
murid-murid tahun 4 didedahkan dengan kaedah latih tubi soalan objektif yang
dilakukan. Ini adalah tindakan susulan selepas menyedari kelemahan murid dalam
Ujian Fasa 1 sebelum ini. Kelas 4 Utarid menjadi penyumbang besar menyebabkan
peratus lulus tinggi.
Kertas 2 pula mencatatkan 51.76% (44/85) murid yang lulus. Ini adalah disebabkan oleh
29 orang murid PROTIM yang termasuk dalam 41 (48.24%) orang murid yang gagal
untuk Kertas 2.
Sebagai langkah untuk mengatasi masalah tersebut,guru mata pelajaran akan
mengadakan bengkel penulisan yang akan dianjurkan oleh panitia khusus untuk tahun 4.
Sasaran lulus untuk tahun 4 adalah sebanyak 90% untuk Kertas 1 dan 65% untuk
Kertas 2.
3.5 Tahun 5 pula mencatatkan 67.42% (60/88) orang murid yang lulus untuk
Kertas 1 manakala bagi Kertas 2 adalah sebanyak 56.82% (50/89) orang murid yang
lulus. Faktor murid tidak dapat menguasai 2M dan murid PROTIM juga menjadikan
peratusan murid gagal dalam kedua-dua kertas. Untuk mengatasi masalah ini dan
membantu murid yang gagal,mereka akan diberi latih tubi dan aktiviti pemulihan yang
seiring dengan tahap pemikiran mereka.
Sasaran untuk Kertas 1 adalah sebanyak 75% dan Kertas 2 pula 70%.
3.6 En.Azelan menjelaskan bahawa aras solan yang terlalu tinggi menyebabkan
yang lulus untuk Kertas 1 hanyalah 71.28% (67/94). Kertas 2 pula mencatatkan 77.66%
(73/94) peratus murid lulus. Antara faktor yang membuatkan murid gagal dalam Kertas 2
ini ialah kerana tidak memahami kehendak soalan dan menurut En.Azelan lagi,murid
tidak dapat mengesan nilai-nilai murni yang terdapat dalam petikan untuk menjawab
Bahagian C. Antara aktiviti yang telah dan akan dijalankan untuk membantu
meningkatkan peratus kelulusan murid Tahun 6 ialah dengan mengadakan aktiviti pada
setiap pagi,membeli akhbar DIDIK dan membuat pertukaran soalan dengan negeri-negeri
lain. En.Azelan juga menjelaskan akan memberikan tumpuan keepada Bahagian A dan
Bahagian C untuk membantu murid mendapat lebih markah.
Beliau mensasarkan sebanyak 80% murid untuk lulus dalam Kertas 1 dan sebanyak 85%
murid untuk lulus dalam Kertas 2.
4.0 Hal-hal Lain.
4.1 En.Hamidon menjelaskan tarikh bengkel penulisan tersebut akan dibincangkan
kemudian.
4.2 Beliau juga mengingatkan guru-guru supaya tidak lupa untuk sentiasa
menjalankan ujian PLBS.

Mesyuarat ditangguhkan pada pukul 2.05 petang.



Disediakan oleh :

.........................
(MOHD TARMIDZE ABU BAKAR)
Setiausaha Panitia,
Bahasa Malaysia,SKTP.






Cerita Cikgu

Menjadi seorang cikgu sebenarnya memerlukan daya tahan yang kuat. Macam berat je,bunyinya. Tugas cikgu ni bukan sahaja kena memikirkan tugas kat dalam kelas je,tapi sebenarnya banyak tugas-tugas yang boleh dianggap sampingan yang perlu diberikan keutamaan.
Kenapa aku ingin membicarakan tentang tugas cikgu ni? Maklumlah,sampai sekarang masih kedengaran suara-suara sumbang yang berminat menyentuh tentang profesion keguruan ini. Bukan apa,kadang-kadang budaya kat sekolah adalah berbeza. Budaya kat sekolah adalah berbeza kerana guru-guru yang mengajar di sesebuah sekolah adalah berbeza potensinya. Mungkin ada guru-guru yang boleh dianggap berjaya kerana kaedah yang digunapakai sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran berkesan terhadap anak muridnya. Mungkin kaedah tersebut tidak boleh digunakan di sekolah lain yang mungkin murid-muridnya memerlukan kaedah yang lain. Budaya kerja di setiap sekolah juga berbeza. Macam di sekolah aku,mesyuarat selepas waktu persekolahan adalah perkara biasa. Setakat bermesyurat sampai pukul 4,5 petang sudah dianggap biasa sangat sehinggakan aku akan menjadi serba salah sekiranya dapat pulang awal. Hahahaha...
Sebenarnya di mana-mana pun semuanya sama tetapi bergantung kepada corak pengurusannya. Sesebuah organisasi akan terbentuk melalui kebijaksaan ketua untuk merencanakan perjalanan sesebuah organisasi yang diterajuinya. Masing-masing mempunyai perancangan mereka sendiri. Selalunya kita mudah untuk menuding jari kepada orang lain atas ketidakpuasan hati yang kita rasai sedangkan kita tidak pernah cuba untuk menyalahkan diri kita sendiri atas apa yang berlaku. Bukanlah aku menyuruh untuk menyalahkan diri sendiri pula,cuma sesekali cuba kita tempatkan diri kita dalam keadaan orang lain. Adakah itu tindakan yang akan kita ambil? Bukanlah suatu perkara yang senang untuk memuaskan hati semua pihak. Pengurusan pun perlulah bijak untuk merasai apa yang sepatutnya. Kadang-kala bertolak ansur adalah satu langkah yang bijak. Seseorang yang hebat peribadinya akan dinilai melalui tindakannya yang akan mencerminkan ketinggian ilmunya. Sekiranya kita tidak berilmu tetapi berusaha untuk menunjukkan yang kita berilmu tanpa mahu mengakui yang kita tidak berilmu maka akan terserlahlah kebodohannya. Betul tak?

21 Jun, 2009

SELAMAT HARI BAPA

SELAMAT HARI BAPA UNTUK SEMUA BAPA-BAPA DI MALAYSIA.
HARGAILAH BAPA ANDA SEMENTARA MEREKA MASIH ADA DI DUNIA INI BERSAMA KITA SEMUA.PENGORBANAN MEREKA TIADA NILAINYA...AL-FATIHAH UNTUK ABAH TERSAYANG. JASA ABAH TETAP DALAM HATI INI. SELAMAT HARI BAPA INI JUGA UNTUK ABAH KAT TAMPIN.

Kebun part 1


rendah je tu...macam letak je kan?tapi tak gugur lagi tu.


Buah durian yang masih berada di atas pokok



banyaknya...bila nak gugur ni...


jangan tak percaya...rendah je ni. siap boleh pegang.



nampak tak adik wani tu?



Balik Tampin

Minggu ini aku balik ke Tampin. Minggu lepas pun dah balik. Minggu lepas balik sempat juga pergi ke kebun mama. Banyak betul buah-buahannya.Durian,manggis dan rambutan banyak yang menjadi.
Minggu ni kami sempat juga pergi ke kebun mama lagi. Adam dengan adik Wani pada minggu lepas begitu seronok dapat memetik buah-buahan. Kami sempat la juga membawa pulang sedikit buah durian ke Ampang. Dapatlah diberikan kepada jiran-jiran dan kawan-kawan. Aku macam biasalah,bukan suka sangat pun. Makan ala kadar je,macam ambil syarat la. Tu yang family belah mama bising-bising sebab susah sangat nak ajak aku pergi kebun. Hahaha...betul,aku memang tak suka pergi ke kebun.
Minggu ni aku sempat juga la panjat pokok manggis dan memetik buah-buah manggis yang banyak sangat masak di atas pokok. Dan jangan terkejut,mama juga sempat memanjat pokok manggis lantaran tidak sabar melihat buah manggis yang kehitaman memenuhi pokok tersebut. Tapi rendah aje pokoknya. Kalau tinggi,aku pun tidak membenarkannya. Hihihi...

15 Jun, 2009

Hari pertama selepas cuti

Ahhhhh.....malasnya. Bukan apapun sebenarnya tetapi selalunya apabila bercuti panjang,inilah yang berlaku. Apabila dah sampai sekolah,terpandang je bangunan sekolah,murid-murid dan juga rakan sekerja,perasaan itu akan hilanglah. Sebenarnya,beban tangggungjawab yang dipikul seorang guru amatlah berat. Ye lah...masa depan seorang insan atau manusia akan dicorakkan oleh guru. Bunyi macam hebatkan?
Faktor guru sebenarnya memainkan peranan yang penting dalam membentuk pemikiran murid-murid. Murid-murid perlu dirangsang supaya mereka dapat berfikir ke arah yang sepatutnya. Mereka ini perlu dibimbing untuk menentukan hala tuju arah pemikiran yang dapat membantu mereka dalam menghadapi tanggungjawab sebagai seorang pelajar. Apa yang berlaku kini mereka seolah-olah sudah diprogram untuk menerima apa sahaja keputusan yang telah dibuat. Seolah-olah tidak tahu untuk membuat keputusan. Ini mungkin pengalaman aku semasa mengajar di sini hampir sepuluh tahun.
Mereka ini juga terlalu dimanjakan. Aku rasakan satu cabaran yang besar untuk aku memantapkan tahap disiplin yang tinggi dalam diri mereka. Aku bertanggungjawab untuk membentuk disiplin mereka kerana itulah tanggungjawab aku sebagai guru disiplin. Aku pernah berjumpa beberapa orang bekas anak murid yang mengatakan bahawa mereka tidak akan melupakan 'kegarangan' aku sewaktu mereka masih menjadi warga SK Tasek Permai dahulu. Apabila aku bertanya kenapa,mereka menjelaskan bahawa aku berjaya membuatkan mereka sedar kesalahan yang dilakukan dahulu. Mereka sedar yang tindakan aku suatu ketika dulu adalah akibat daripada kesalahan mereka melanggar disiplin atau peraturan sekolah. Ambil masa juga ya untuk mereka menyedarinya...
Masalah disiplin di sekolah ini tidaklah begitu serius. Disiplin di sini masih dalam kawalan dan murid-murid masih lagi tahu batas-batas mereka. Cuma mereka ini perlu dibentuk dengan sebaik mungkin. Mungkin 'kegarangan' aku tidak begitu sesuai sekarang kerana tahap penerimaan murid-murid adalah berbeza. Ada sesetengah murid yang perlu menggunakan kaedah psikologi yang memerlukan kita berlembut dengan mereka. Ini kerana murid-murid aku mempunyai latar belakang yang berbeza. Kebanyakan ibu bapa mereka merupakan buruh dan mempunyai status penduduk tetap. Ibu bapa mereka ini ramai yang berasal dari Indonesia. Ini merupakan suatu cabaran yang cukup besar bagi guru-guru di sini untuk membentuk mereka ini ke arah kecemerlangan.
Namun demikian,sekolah aku pernah mengecapi kegemilangan dalam bidang ko-kurikulum terutamanya olahraga. Cuma dalam bidang akademik, kami masih dalam peringkat sederhana tetapi tidaklah terlau teruk. Biasalah,dalam bidang akaedemik memang merupakan satu cabaran kepada mana-mana insititusi pun. Lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak yang masih belum tahu tentang kepentingan pelajaran yang berkualiti pada masa kini. Faktor persekitaran juga memainkan peranan yang penting dalam membentuk sahsiah keperibadian yang tinggi kepada murid-murid ini. Sekiranya mereka ini diberikan pendedahan yang sewajarnya oleh guru-guru,ibu bapa dan masyarakat maka tidak mustahil mereka ini dapat menimba ilmu dengan lebih cemerlang. Jadi setiap individu wajar bekerjasama dalam usaha untuk memastikan anak-anak murid aku berjaya dalam akademik dan ko-kurikulum,tidak dilupakan juga dalam membentuk disiplin dan sahsiah mereka.
Mungkin ada yang mengatakan beban kami tidak begitu berat sekarang ini. Ada yang mengatakan bahawa kami hanya mengejar ganjaran semata-mata. Tetapi jangan lupa kerana kami,guru-guru adalah suami,isteri,ayah,ibu kepada ahli keluarga kami. Kami juga ada tanggungjawab yang sama macam apa yang ibu bapa harapkan kepada anak-anak mereka. Tidak ada seorang guru pun yang mahukan anak murid mereka gagal dalam peperiksaan,lebih-lebih lagi menghadapi KEGAGALAN dalam kehidupan mereka. Aku sudah semestinya berbangga sekiranya anak murid aku berjaya dalam hidup mereka dan perasaan kecewa mestilah menyelubungi sekiranya mengetahui ada anak murid aku yang kecundang dalam persaingan kehidupan ini. Renungkanlah...

24 Mei, 2009

Semoga KDYMM Sultan Kelantan cepat sembuh

Patik sebagai rakyat Kelantan di perantauan mendoakan kesejahteraan Tuanku Sultan Kelantan,semoga cepat sembuh... AMIN

23 Mei, 2009

Luahan Rasa Aku dalam Politik

Baru -baru ini aku berkesempatan untuk mengikuti kursus 'membina semangat dan jati diri' anjuran UMNO Bahagian Ampang. Program itu dijalankan di Institut Latihan Memperkasakan UMNO (ILMU) bertempat di Janda Baik,Pahang. Objektif utama ialah untuk menaikkan kembali semangat ahli-ahli UMNO terutamanya di Ampang yang mengalami kekalahan teruk di sana.
Majlis perasmian dilaksanakan oleh Datuk Noh Omar,Menteri Pertanian dan Asas Tani manakala penutupnya pula ialah En.Ahmad Maslan,Ketua Penerangan UMNO Malaysia. Kursus yang berjalan dari 15-17 Mei itu boleh dikatakan berjaya untuk menaikkan semangat ahli-ahli cuma keberkesanannya selepas kursus itu yang menjadi persoalannya.
Aku dapat melihat rata-rata peserta adalah ahli yang komited dalam perjuangan UMNO. Aku dapat melihat peserta yang umurnya agak veteran. Apa yang membuatkan aku kagum ialah semangat perjuangannya. Sejujurnya imej berkopiah dan berusia macam itu begitu sinonim dengan imej penyokong parti lain. Aku yang melihat beberapa orang peserta kursus yang berimej sedemikian merasakan suatu kelainan. Maklumlah aku selalu terdedah dengan suasana politik di Kelantan.
Dalam situasi poliltik yang berlaku sekarang,adalah mustahil untuk UMNO menarik kembali sokongan rakyat. Itulah realitinya. Memang UMNO masih ada penyokong tetapi tindakan yang dilakukan tidak begitu popular pada mata rakyat. Pihak lawan berjaya meraih sokongan rakyat dengan tindakan -tindakan yang berjaya meraih perhatian rakyat. Contoh terbaik ialah ahli parlimen Ampang yang turun ke bawah untuk bertemu rakyat di sebuah tapak pasar malam semata-mata untu kmengucapkan selamat hari ibu dan memberikan sekuntum bunga. Mudah sajakan? Tetapi impaknya ialah rakyat bawahan merasa wakil rakyat mereka begitu dekat di hati mereka. Apa yang mereka lakukan begitu mudah kerana rakyat hanya ingin didekati dan mahukan wakil rakyat mereka mendengar keluhan mereka. Itulah yang pemimpin UMNO hari ini tidak mampu untuk melakukan. Rakyat merasakan mereka itu terlalu besar jurang untuk bersama rakyat. Sebetulnya,rakyat hanya ingin merasakan bahawa mereka juga ingin dihargai. Itulah kelemahan UMNO sekarang. Terlalu memberikan tumpuan kepada isu-isu yang besar sehinggakan terlupa kepada isu yang dianggap remeh iaitu memberikan perhatian kepada rakyat.
Rakyat tidak mahu tahu tentang projek-projek mega. Yang perlu bagi mereka ialah untuk meneruskan kehidupan yang serba mencabar sekarang ini. Cabaran untuk menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu. Sepatutnya pemimpin atasan perlu lebih peka dengan kehendak rakyat. Tidak salah untuk mendengar keluhan mereka. Lihat pendekatan yang digunakan oleh Datuk Mustapha Mohamad sewaktu menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Kelantan ketika pilihan raya 2004 dahulu. Imej yang ditonjolkan ialah berkopiah,berkain pelikat dan berbaju Melayu berjaya membuatkan rakyat terpikat. Rakyat merasakan bahawa Tok Pa begitu dekat dan mudah didampingi. Hasilnya pada pilihan raya itu Barisan Nasional khususnya UMNO berjaya memenangi banyak kerusi sehinggakan kerajaan Pas hanya memerintah dengan kelebihan dua kerusi sahaja. Tetapi pada pilihan raya 2008 baru-baru ini,lihatlah hasilnya.....
Sudah sampai masanya untuk kita melakukan perubahan yang betul-betul 'perubahan'. Jika tidak,tidak mustahil pada pilihan raya akan datang UMNO akan menjadi pembangkang dalam kerajaan persekutuan. Tidak MUSTAHIL bukan?

21 Mei, 2009

Pasukan bola sepak Kelantan

GOMO KELATE GOMO
Pasukan bola sepak Kelantan berkemungkinan akan menarik diripada dari persaingan Liga Super atas faktor kewangan. Masalah faktor pemain yang terpaksa berulang alik ke Stadium Nasional Bukit Jalil juga dikenal pasti merupakan faktor pasukan Kelantan gagal mencatatkan kemenangan selepas perlawanan akhir Piala FA tempoh hari. Apa pun aku sentiasa menyokong perjuangan pasukan bola sepak Kelantan.

Lagu Warisan

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Airmata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang
Nenek moyang kaya-raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cita lenyap di arus zaman
Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Pribumi merintih sendiri
Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang
Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri
Kita sudah tiada masa
Majulah dengan maha Perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
MELAYU kan gagah di nusantara
MELAYU kan gagah di nusantara
MELAYU kan gagah di nusantara
Hayatilah bait-bait lagu ini. Mungkin akan membuatkan kita sebak memikirkan tentang nasib bangsa.....anak cucu kita nanti.....

20 Mei, 2009

Gambar Album

masa kat Cameron Highland tahun lepas
mama,kartunis ujang,dan aku

mama dan kartunis ujang


adam dan adik wani bersama sepupu-sepupunya begitu seronok mandi kat kolam









sesaje je

mama,terima kasih kerana sabar dalam melayan karenah adam,wani dan rayyan.CT,happy birthday...

19 Mei, 2009

TESTING

SAYANG MAMA,ADAM,ADIK WANI,ADIK RAYYAN

18 Mei, 2009

Gambar Rayyan







Selamat Hari Guru

Assalamualaikum semua...dikesempatan yang ada ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik yang tanpa jemu menaburkan bakti kepada anak bangsa. Teruskan perjuangan kalian...
Walaupun kita sering diasak dengan pelbagai persoalan yang mempersoalkan profesion kita,semua pendidik yang ada tetap cekal meneruskan tanggungjawab yang diamanahkan. Jangan lupa,kita juga adalah manusia biasa yang juga ada tanggungjawab kepada diri,keluarga,agama,bangsa,dan negara.
SELAMAT HARI GURU

13 Mei, 2009

13 Mei

Tarikh ini merupakan satu tarikh penting dalam lipatan sejarah negara. Pada tarikh inilah yang mencetuskan satu senario baru dalam aspek hubungan antara kaum di negara kita. 13 Mei dijadikan sebagai garis panduan dalam setiap apa sahaja yang melibatkan persoalan mengenai hubungan di antara kita semua.
Kerajaan sentiasa memberikan komitmen yang padu untuk memastikan keharmonian dalam masyarakat berbilang bangsa dalam negara kita ini. Keharmonian yang dipupuk hampir lima puluh tahun ini berjaya menjadikan negara kita bertambah aman dan makmur. Negara kita berkembang pesat dalam menuju arus pemodenan. Banyak kemajuan yang telah dicapai.
Rakyat negara kita juga telah membuktikan yang kita adalah satu bangsa yang berdaya saing di peringkat global. Kita mampu menjenamakan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang bergerak ke arah kemajuan yang pesat. Rakyat negara kita juga sudah mula menitik beratkan aspek pendidikan dalam kehidupan mereka. Kita semua bertungkus lumus memastikan setiap anak-anak kita mendapat ilmu yang sepatutnya. Dasar kerajaan yang mewajibkan setiap kanak-kanak mendapat pendidikan sekurang-kurangnya sehingga ke tahap sekolah rendah juga membuktikan yang kita semua menyedari perlunya ilmu untuk menjadi satu bangsa yang bertamadun dan dihormati.
Keharmonian yang dinikmati oleh kita selama ini adalah satu anugerah yang tidak terhingga. Kita sering ditunjukkan oleh media massa tentang penderitaan yang tidak berkesudahan di beberapa tempat di negara lain. Betapa mereka yang tidak bernasib baik dan menerima ujian yang pastinya tidak ingin kita lalui itu terpaksa melaluinya. Kita dapat saksikan betapa menderitanya rakyat Palestin, pergolakan di beberapa buah negara Afrika yang juga di hantui masalah kebuluran. Semua itu,alhamdulillah tidak dilalui oleh kita.
Kestabilan politik dalam negara kita juga banyak menyumbang ke arah keharmonian ini. Cuma sedikit sebanyak kekalutan yang timbul kebelakangan ini hanyalah masalah yang pastinya dapat ditangani dengan penuh rasional oleh mereka-mereka yang terlibat. Mereka semua itu adalah golongan yang berpelajaran dan sudah semestinya tahu apa yang baik untuk kita. Di situlah terletaknya ketinggian ilmu seseorang yang dapat dinilai melalui tindakan-tindakan mereka. Kita hanya mahu melihat yang terbaik. Sudah semestinya mereka juga inginkan yang terbaik untuk rakyat.
Cuma apa yang boleh kita lakukan ialah jalankan tanggunjawab kita sebagai rakyat dengan sebaik mungkin. Kita sudah semestinya tidak ingin sejarah lama berlaku lagi. Cukuplah sekali dan berfikirlah menggunakan ilmu yang kita ada dan bertindaklah menggunakan kewarasan akal yang menunjukkan kita adalah individu yang berilmu. Janganlah kita dianggap bodoh sombong akibat kedangkalan kita sendiri.