23 Mei, 2009

Luahan Rasa Aku dalam Politik

Baru -baru ini aku berkesempatan untuk mengikuti kursus 'membina semangat dan jati diri' anjuran UMNO Bahagian Ampang. Program itu dijalankan di Institut Latihan Memperkasakan UMNO (ILMU) bertempat di Janda Baik,Pahang. Objektif utama ialah untuk menaikkan kembali semangat ahli-ahli UMNO terutamanya di Ampang yang mengalami kekalahan teruk di sana.
Majlis perasmian dilaksanakan oleh Datuk Noh Omar,Menteri Pertanian dan Asas Tani manakala penutupnya pula ialah En.Ahmad Maslan,Ketua Penerangan UMNO Malaysia. Kursus yang berjalan dari 15-17 Mei itu boleh dikatakan berjaya untuk menaikkan semangat ahli-ahli cuma keberkesanannya selepas kursus itu yang menjadi persoalannya.
Aku dapat melihat rata-rata peserta adalah ahli yang komited dalam perjuangan UMNO. Aku dapat melihat peserta yang umurnya agak veteran. Apa yang membuatkan aku kagum ialah semangat perjuangannya. Sejujurnya imej berkopiah dan berusia macam itu begitu sinonim dengan imej penyokong parti lain. Aku yang melihat beberapa orang peserta kursus yang berimej sedemikian merasakan suatu kelainan. Maklumlah aku selalu terdedah dengan suasana politik di Kelantan.
Dalam situasi poliltik yang berlaku sekarang,adalah mustahil untuk UMNO menarik kembali sokongan rakyat. Itulah realitinya. Memang UMNO masih ada penyokong tetapi tindakan yang dilakukan tidak begitu popular pada mata rakyat. Pihak lawan berjaya meraih sokongan rakyat dengan tindakan -tindakan yang berjaya meraih perhatian rakyat. Contoh terbaik ialah ahli parlimen Ampang yang turun ke bawah untuk bertemu rakyat di sebuah tapak pasar malam semata-mata untu kmengucapkan selamat hari ibu dan memberikan sekuntum bunga. Mudah sajakan? Tetapi impaknya ialah rakyat bawahan merasa wakil rakyat mereka begitu dekat di hati mereka. Apa yang mereka lakukan begitu mudah kerana rakyat hanya ingin didekati dan mahukan wakil rakyat mereka mendengar keluhan mereka. Itulah yang pemimpin UMNO hari ini tidak mampu untuk melakukan. Rakyat merasakan mereka itu terlalu besar jurang untuk bersama rakyat. Sebetulnya,rakyat hanya ingin merasakan bahawa mereka juga ingin dihargai. Itulah kelemahan UMNO sekarang. Terlalu memberikan tumpuan kepada isu-isu yang besar sehinggakan terlupa kepada isu yang dianggap remeh iaitu memberikan perhatian kepada rakyat.
Rakyat tidak mahu tahu tentang projek-projek mega. Yang perlu bagi mereka ialah untuk meneruskan kehidupan yang serba mencabar sekarang ini. Cabaran untuk menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu. Sepatutnya pemimpin atasan perlu lebih peka dengan kehendak rakyat. Tidak salah untuk mendengar keluhan mereka. Lihat pendekatan yang digunakan oleh Datuk Mustapha Mohamad sewaktu menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Kelantan ketika pilihan raya 2004 dahulu. Imej yang ditonjolkan ialah berkopiah,berkain pelikat dan berbaju Melayu berjaya membuatkan rakyat terpikat. Rakyat merasakan bahawa Tok Pa begitu dekat dan mudah didampingi. Hasilnya pada pilihan raya itu Barisan Nasional khususnya UMNO berjaya memenangi banyak kerusi sehinggakan kerajaan Pas hanya memerintah dengan kelebihan dua kerusi sahaja. Tetapi pada pilihan raya 2008 baru-baru ini,lihatlah hasilnya.....
Sudah sampai masanya untuk kita melakukan perubahan yang betul-betul 'perubahan'. Jika tidak,tidak mustahil pada pilihan raya akan datang UMNO akan menjadi pembangkang dalam kerajaan persekutuan. Tidak MUSTAHIL bukan?

Tiada ulasan: