10 Disember, 2009

Perjalanan hidup ini...

Kebelakangan ini aku banyak melalui proses untuk lebih mengenali kehidupan ini. Apabila direnungkan kembali,sudah banyak kejayaan yang aku telah dapat dalam menempuhi kehidupan seharian aku. Kejayaan? Ya,kejayaan. Aku telah berjaya untuk menjadi seorang guru,seorang suami,seorang ayah dan seorang anak...aku juga boleh berbangga dengan pencapaian itu sebenarnya.Bukan semua orang boleh menjadi seperti itu dan memiliki segala-galanya.
Tetapi pelikkan? 'Kejayaan' aku itu masih belum membuatkan aku berpuas hati dan masih lagi mencari kejayaan demi kejayaan. Dalam usaha yang berterusan aku itu,mama tidak pernah mengabaikan aku. Mama sentiasa menjadi tulang belakang kejayaan demi kejayaan yang aku peroleh dalam kehidupan aku. Abang Adam,kakak Wani,adik Rayyan pula merupakan anugerah yang tak ternilai yang aku miliki. Mereka merupakan aset aku dan nadi aku untuk terus mencipta kejayaan demi kejayaan nanti.
Sepanjang 10 tahun karier aku sebagai seorang guru,banyak perkara yang aku belajar. Banyak benda yang dapat aku pelajari berkaitan tentang kehidupan ini. Aku sangat bersyukur kerana dikurniakan kerjaya sebagai seorang guru dan pendidik. Ini adalah kerana aku berpeluang untuk belajar dan lebih memahami cara untuk mendidik cahaya mata yang dianugerahkan kepada aku. Aku juga berpeluang untuk menyelami peranan ibu bapa kepada murid aku. Masalah-masalah yang timbul atau halangan yang berlaku sepanjang membesarkan anak-anak...alhamdulillah.
Karier sebagai seorang pendidik ini secara tidak langsung dapat menjadikan aku sebagai seorang yang lebih bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu. Gelaran pendidik ini dapat menjadikan aku lebih berhati-hati dalam melakukan sesuatu tindakan kerana memikirkan nama baik kerjaya ini. Bermacam ragam karenah manusia dapat aku kutip sepanjang hampir 10 tahun bergelar guru. Pelbagai jenis ibu bapa dan juga murid yang aku jumpa. Semua itu dapat aku jadikan panduan untuk terus mencipta kejayaan demi kejayaan nanti.
Isu perguruan sekarang ini juga banyak diperkatakan. Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri telah melancarkan Standard Guru Malaysia (SGM) yang mahukan setiap guru perlu mematuhi standard yang telah ditetapkan iaitu tiga aspek amalan nilai iaitu profesionalisme keguruan,pengetahuan serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi. Setiap guru perlu memiliki aspek tersebut untuk terus relevan dalam membentuk generasi yang akan datang. Besar dan berat tanggungjawab yang dipikul oleh setiap warga pendidik.
Sebelum itu masyarakat disajikan dengan tugas-tugas guru.Bermacam kisah dipaparkan sehingga memaksa Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia membuat penjelasan dalam ruangan Forum akhbar Utusan Malaysia. Beliau terpaksa membuat penjelasan tersebut setelah membaca komen sebelum ini. 'Beban tugas perkeranian' tajuk komen pembaca tersebut. Itulah tugas seorang pendidik sebenarnya...mendidik,luas maknanya mendidik itu. Mendidik seorang manusia...bayangkan tugas kami...
Beberapa hari lepas pula timbul cadangan untuk memberikan kuasa kepada pengetua/guru besar untuk memecat guru yang tidak menunjukkan prestasi seperti yang diinginkan...baru cadangan. Belum lagi dengan istilah 'guru semborono' yang merujuk kepada guru yang mengajar sambil bersahaja...Belum lagi dengan 'pertelingkahan' tentang gred...gred 41,gred32...Itu semua adalah asam garam dalam 'rumah tangga' perguruan.
Walau apa pun yang berlaku,aku berbangga menjadi seorang guru. Kerjaya ini banyak mematangkan aku dalam proses kehidupan aku untuk terus mencipta kejayaan demi kejayaan yang aku impikan.

Tiada ulasan: